Nia Sharma dan Rashami Desai dikeluarkan dari siri TV "Naagin 4" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Nia Sharma dan Rashami Desai dikeluarkan dari siri TV "Naagin 4"

Penulis: Nisa Irina

Sumber produksi mendedahkan bayaran untuk Nia Sharma dan Rashami Desai agak mahal.
Sumber produksi mendedahkan bayaran untuk Nia Sharma dan Rashami Desai agak mahal.

29 Mei – Pihak penerbit siri televisyen thriller fantasi "Naagin" musim keempat kini perlu mencari pengganti apabila dua peneraju utama iaitu aktres Nia Sharma dan Rashami Desai tidak lagi terlibat dengan produksi itu.

Seperti yang dilaporkan oleh ABP Live, pihak penerbit merancang untuk menghasilkan versi baru dengan beberapa perubahan besar bagi siri itu sebaik sahaja Perintah Berkurung berakhir.

"Saluran TV dan pihak penerbit ingin mengurangkan kos memandangkan situasi pemasaran kini tidak stabil, tambahan lagi bayaran untuk Nia dan Rashami agak mahal.

"Jadi kami telah mengadakan kata sepakat untuk mengeluarkan watak-watak mereka dari siri ini," dedah satu sumber terdekat.

Malah, sebelum ini juga sumber itu memberitahu watak yang dibawa oleh Rashami tidak sesuai dengan versi baru siri terbitan Ekta Kapoor tersebut.

Walau bagaimanapun, peneraju lelaki utama iaitu aktor Vijayendra Kumeria akan dikekalkan seperti biasa.

Sehingga kini, pihak penerbit mahupun kedua-dua aktres itu masih belum tampil untuk mengesahkan berita tersebut.

Untuk rekod, "Naagin" musim pertama mula disiarkan pada 2015 diikuti dengan musim kedua, ketiga dan keempat pada tahun-tahun berikutnya.

Setiap musim menampilkan barisan pelakon yang berbeza dan "Naagin" telah dilabel sebagai salah satu siri paling tinggi penarafannya dalam industri televisyen India.

(Sumber: ABP Live)
(Sumber foto: Pinkvilla, Eastern Eye)

Cinema Online, 29 Mei 2020

Waktu Tayangan