Nora Fatehi ganti Parineeti Chopra dalam "Bhuj: The Pride of India" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Nora Fatehi ganti Parineeti Chopra dalam "Bhuj: The Pride of India"

Penulis: Nisa Irina

Nora Fatehi akan bawa watak Heena Rehman dalam "Bhuj: The Pride of India".
Nora Fatehi akan bawa watak Heena Rehman dalam "Bhuj: The Pride of India".

7 Jan – Pembikin filem sejarah peperangan "Bhuj: The Pride of India" akhirnya memilih aktres Nora Fatehi untuk menggantikan Parineeti Chopra yang menarik diri dari filem itu pada November tahun lalu.

Difahamkan sebelum ini Parineeti telah menarik diri kerana pelanggaran tarikh penggambaran memandangkan dia terlibat dengan filem "Saina" dan "The Girl on the Train" pada ketika itu.

"Dia baru sahaja masuk ke set dan telah mula menyertai bengkel-bengkel latihan bagi wataknya bersama pengarah, yang juga memfokuskan bahasa tubuh seorang perisik.

"Dia akan menjalani penggambaran selepas 12 Januari untuk jadual 15 hari terakhir filem ini," dedah satu sumber menerusi Mumbai Mirror.

"Bhuj: The Pride of India" mengisahkan peperangan Indo-Pakistan yang berlatar masa tahun 1971, di mana Ketua Skuadron Vijay Karnik lakonan Ajay Devgn, ditugaskan untuk menjaga pangkalan udara Bhuj yang masih beroperasi.

Selain Nora dan Ajay, filem arahan Abhishek Dudhaiya itu turut menampilkan barisan aktor lain seperti Sanjay Dutt, Sonakshi Sinha, Rana Daggubati, Ammy Virk, Pranitha Subhash dan Mahesh Shetty.

Diterbitkan oleh Bhushan Kumar bersama Divya Khosla Kumar dan Krishan Kumar, "Bhuj: The Pride of India" akan menemui penonton di pawagam pada 14 Ogos 2020.

Dalam perkembangan lain, Nora kini sedang mempromosikan filem "Street Dancer 3D" bersama Varun Dhawan yang akan ditayangkan pada 24 Januari ini.

(Sumber foto: Your Wikis)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Cinema Online, 07 Jan 2020

Waktu Tayangan