Parineeti Chopra pernah tolak "Hasee Toh Phasee" kerana Sushant Singh Rajput | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Parineeti Chopra pernah tolak "Hasee Toh Phasee" kerana Sushant Singh Rajput

Penulis: Nisa Irina

Parineeti Chopra akhirnya membintangi filem bersama Sushant Singh Rajput terbitan Aditya Chopra.
Parineeti Chopra akhirnya membintangi filem bersama Sushant Singh Rajput
terbitan Aditya Chopra.

22 Sep – Ketika kes kematian Sushant Singh Rajput masih menjadi topik bualan ramai, pembikin filem Bollywood terkenal Anurag Kashyap juga tidak ketinggalan untuk berkongsi pendedahannya mengenai aktor tersebut.

Difahamkan sebelum Sidharth Malhotra dipilih untuk membintangi filem terbitan Anurag dan Karan Johar, "Hasee Toh Phasee", Sushant merupakan pilihan utama mereka untuk menerajui filem tersebut.

Walau bagaimanapun, selepas menerima tawaran itu, Sushant dikatakan mendiamkan diri ketika pihak produksi sedang sibuk mencari aktres gandingannya, yang mana ditawarkan kepada Parineeti Chopra.

"Kami perlu mencari seorang aktres dan kami menghubungi Parineeti Chopra. Katanya dia tak mahu berlakon dengan aktor televisyen, jadi kami menjelaskan siapa Sushant sebenarnya serta filemnya "Kai Po Che!" dan "PK".

"Ketika itu Parineeti terlibat dengan filem "Shuddh Desi Romance" dan mungkin dia telah bercakap dengan produksi Yash Raj Films, dan mereka menghubungi Sushant untuk menawarkan filem itu kepadanya," ujar Anurag yang dipetik dari Hindustan Times.

Tambah Anurag lagi, itu bukanlah kali pertama Sushant berbuat demikian kerana sebelum kejayaan filem Sushant "M.S. Dhoni: The Untold Story", dia telah menawarkan sebuah filem kepada aktor itu namun tiada jawapan daripadanya.

"Ketika itu, ramai yang tidak tahu apa yang dialaminya. Sehingga kini barulah kita didedahkan bahawa dia mengalami kemurungan tetapi masalah yang dihadapi industri adalah perbuatan Sushant memulaukan orang lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anurag akan dilihat berlakon dalam filem bertemakan drama kekeluargaan, "Bansuri: The Flute", bersama pelakon lain seperti Rituparna Sengupta, Upendra Limaye dan Danish Hussain.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: upperstall.com)

Cinema Online, 21 Sept 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan