Patung lilin Sushant Singh Rajput dipamerkan di muzium Asansol | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Patung lilin Sushant Singh Rajput dipamerkan di muzium Asansol

Penulis: Nisa Irina

Patung lilin Sushant (kanan) tampak begitu realistik dan mirip tuan empunya badan.
Patung lilin Sushant (kanan) tampak begitu realistik dan mirip tuan empunya badan.

19 Sep – Ketika pemergian Sushant Singh Rajput masih diratapi ramai, pengukir Sukanto Roy menggunakan bakatnya untuk memberi penghormatan terhadap Sushant dengan menghasilkan patung lilin aktor Bollywood itu.

Menurut laporan dari Yahoo! News India, patung lilin itu mula dipamerkan di sebuah muzium di bandar Asansol, Bengal Barat, sejak 17 September dan fotonya sudah pun tular di media sosial.

Usaha Sukanto menghasilkan patung lilin yang tampak realistik itu berjaya menarik perhatian ramai terutamanya para peminat Sushant yang rata-ratanya memuji bakat kreatif pengukir tersebut.

"Saya sangat meminati Sushant. Sayang sekali dia telah meninggal dunai. Sebagai tanda mengingatinya, saya telah menghasilkan patung lilin ini untuk dipamerkan di muzium saya.

"Walau bagaimanapun, jika keluarga Sushant membuat permintaan untuk patung lilinnya, saya akan menghasilkan sebuah patung yang baru," ujar Sukanto.

Selain Sushant, sebelum ini Sukanto juga telah menghasilkan patung lilin beberapa selebriti terkenal termasuk bintang veteran Amitabh Bachchan dan kapten pasukan kriket India, Virat Kohli, yang turut dipamerkan di muziumnya.

Baru-baru ini, para peminat telah mengadakan petisyen, yang kini hampir mencapai matlamatnya untuk meraih 200,000 tandatangan, untuk patung lilin Sushant dipamerkan di muzium patung lilin terkemuka, Madame Tussauds, London.

Sushant telah ditemui meninggal dunia di kediamannya pada 14 Jun lalu selepas membunuh diri akibat mengalami kemurungan dan sehingga kini siasatan lanjut berkenaan kes kematiannya masih lagi dijalankan.

(Sumber: Yahoo News India)
(Sumber foto: Filmfare Twitter & Pinkvilla Instagram)

Cinema Online, 19 Sept 2020

Waktu Tayangan