Pengarah filem "Don" dedah tiga aktor pilihannya sebelum Amitabh Bachchan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Pengarah filem "Don" dedah tiga aktor pilihannya sebelum Amitabh Bachchan

Penulis: Nisa Irina


"Don" kekal sebagai salah satu filem paling ikonik lakonan Amitabh Bachchan.

6 Jun – Pengarah filem klasik terkenal "Don" (1978), Chandra Barot, mendedahkan bahawa dia pernah menawarkan filem itu kepada tiga aktor berbeza sebelum memilih bintang veteran Amitabh Bachchan.

Menurut Chandra, dia telah memberi tawaran kepada Dev Anand, Jeetendra dan Dharmendra tetapi ketiga-tiga mereka menolak kerana tidak berminat untuk membintangi filem tersebut.

Chandra berjaya melakar sejarah sendiri apabila filem itu berjaya meraih sambutan yang sangat memberangsangkan selepas Bachchan bersetuju untuk menerajuinya.

Seperti yang dilaporkan menerusi Times of India, sehingga kini filem aksi thriller jenayah itu masih menjadi salah satu filem paling ikonik yang dilakonkan oleh Bachchan.

Malah Bachchan turut merangkul trofi juara kategori Aktor Terbaik bagi Anugerah Filmfare ke-26, selepas menjayakan dua watak dalam filem tersebut.

Untuk rekod, "Don" merupakan filem India ketiga dengan kutipan paling tinggi pada 1978 dan diklasifikasikan sebagi 'golden jubilee' oleh Box Office India.

Kejayaan filem itu membuka ruang untuk penerbit dan aktor Farhan Akhtar menghasilkan francais "Don" dengan filem 'remake' "Don: The Chase Begins Again" (2006) dan "Don 2" (2011), yang mana kedua-duanya diterajui 'King of Bollywood', Shah Rukh Khan.

Selain Bachchan, "Don" turut menampilkan barisan pelakon lain iaitu Zeenat Aman, Pran, Iftekhar, Helen, Om Shivpuri, Satyen Kappu, Mac Mohan, Yusuf Khan dan Pinchoo Kapoor.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Cinestaan)

Cinema Online, 06 Jun 2020

Waktu Tayangan