Pengarah olah skrip drama akibat kecederaan Hun Haqeem | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Pengarah olah skrip drama akibat kecederaan Hun Haqeem

Penulis: Nisa Irina


Hun Haqeem selamat jalani pembedahan di bahagian kaki.

3 Mac – Gara-gara mengalami kecederaan di bahagian ligamen kakinya, skrip pelakon yang semakin mencipta nama, Hun Haqeem, bagi drama bersiri "Seindah Tujuh Warna Pelangi" bakal diolah semula oleh pihak produksi.

Menurut pengarah Eoon Shuhaini, pihak produksi terpaksa berbuat demikinan bagi membolehkan Hun menyelesaikan jadual penggambaran yang hampir ke penghujungnya. "Kalau ikutkan Hun ada baki tiga hari lagi penggambaran dan kami menjangkakan penggambaran akan berakhir pada 8 Mac ini.

"Walau bagaimanapun kami akan memberinya cuti beberapa hari lagi dan mungkin kami akan olah skrip dia memandangkan dia hanya cedera di bahagian kaki," ujarnya yang dipetik dari Sinar Harian.


Difahamkan pelakon drama "Kampung People" itu cedera selepas mengalami kemalangan akibat mengantuk sewaktu menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumah selepas bermain futsal.

Terkini, Hun telah selamat menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil seperti yang diberitahu menerusi laman Instagram miliknya.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Terima kasih kepada semua yang memberi semangat, mendoakan, datang melawat dan sebagainya. Semua ini ada hikmahnya. Perancangan Allah sentiasa yang terbaik.

"Insya-Allah dalam tiga minggu saya akan kembali bekerja! Saya sangat menghargai sokongan anda semua. Saya doakan doakan agar semua sentiasa dilindungi oleh Allah. Jaga diri semua," tulisnya.

Drama "Seindah Tujuh Warna Pelangi" turut dibintangi oleh Nabila Razali, Aeril Zafril, Raja Afiq dan Elly Mazlein. Ia mula ditayangkan sejak 24 Februari lalu di Slot Akasia TV3.

(Sumber foto: Hun Haqeem Instagram)

Cinema Online, 03 Mac 2020

Waktu Tayangan