Penerbit umum produksi filem "Satria Dewa: Gatotkaca" sudah bermula | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Penerbit umum produksi filem "Satria Dewa: Gatotkaca" sudah bermula

Penulis: Nisa Irina

Watak adiwira Gatotkaca akan dijayakan oleh pelakon Rizky Nazar.
Watak adiwira Gatotkaca akan dijayakan oleh pelakon Rizky Nazar.

14 Ogos – Industri filem Indonesia dilihat semakin rancak dalam menghasilkan filem-filem aksi bertemakan adiwira, termasuk filem yang dinanti-nanti ramai sejak ia diumumkan hujung tahun lalu iaitu "Satria Dewa: Gatotkaca".

Sehubungan dengan itu, pihak penerbit berjaya membangkitkan lagi keterujaan para peminat dengan mengeluarkan video 'teaser' terbaru yang memaparkan animasi serta barisan pelakon yang membintangi filem tersebut.

Menurut penerbit Celerina Judisari, 'teaser' itu bertujuan untuk memperkenalkan para pelakon berserta watak mereka, serta mengumumkan bahawa produksi filem sudah bermula sejak ia tertunda akibat pandemik COVID-19.

"Sepatutnya memang produksi bermula lebih awal. Namun, kerana pandemik, kami mendapati sekarang adalah waktu yang terbaik untuk memulakan penggambaran.

"Ia sekaligus menunjukkan industri filem Indonesia dapat bergiat semula dengan segera walaupun berdepan pandemik, serta memberi semangat kepada para penggiat seni dan penonton," ujar Celerina yang dipetik dari laporan CNN Indonesia.

Asalnya, sesi penggambaran dijadualkan untuk bermula pada April sebelum ia ditunda, dan kini pihak produksi amat menitikberatkan soal kesihatan para pelakon dan kru dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan sewaktu penggambaran.

Pengarah Hanung Bramantyo berkata, seluruh kumpulan produksi termasuk para pelakon telah pun diminta mengambil ujian saringan COVID-19 dan dikuarantinkan di satu tempat bersama sebelum memulakan penggambaran di Yogyakarta.

"Satria Dewa: Gatotkaca" diterajui oleh pelakon "Danur 3: Sunyaruri", Rizky Nazar, sebagai watak utama Gatotkaca, di samping barisan pelakon lain seperti Yasmin Napper, Yayan Ruhian, Cecep Arif Rahman, Omar Daniel, Jerome Kurnia dan ramai lagi.

Terdahulu, filem itu diumumkan untuk tayang pada hujung tahun ini, namun setelah tertangguh akibat pandemik, kini pihak penerbit mengubah tayangannya pada hujung tahun 2021 tanpa mendedahkan tarikh yang ditetapkan.

(Sumber foto: Kompas.com)

Cinema Online, 14 Ogos 2020

Waktu Tayangan