Preity Zinta gembira dapat jayakan filem "Kya Kehna" 20 tahun dulu | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Preity Zinta gembira dapat jayakan filem "Kya Kehna" 20 tahun dulu

Penulis: Nisa Irina

Preity Zinta pernah dikritik kerana memilih untuk bawa watak ibu muda.
Preity Zinta pernah dikritik kerana memilih untuk bawa watak ibu muda.

21 Mei – Bintang jelita Preity Zinta meluahkan rasa gembira apabila mengimbau kembali kenangan menjayakan filem "Kya Kehna" bersempena dengan ulang tahun ke-20 filem itu ditayangkan.

Seperti yang dimuat naik di laman Twitter, Preity telah berkongsikan pengalaman manisnya dengan sedutan babak filem tersebut, berserta ucapan penghargaan buat penerbit Ramesh S. Taurani, penulis Honey Irani dan para pelakon.

Menerusi filem arahan Kundan Shah itu, Preity membawa watak Priya Bakshi, seorang gadis remaja ceria, yang kemudiannya berdepan cabaran hidup setelah mendapati dia hamil sebelum berkahwin.

"Saya masih ingat lagi yang semua orang terkejut apabila saya memilih untuk membawa watak ibu muda yang belum berkahwin untuk filem pertama saya.

""Karier kamu akan berakhir sebelum ia bermula. Kamu dah gila ke?" Itu yang mereka cakap," tulisnya menerusi entri tersebut.

Filem itu menggandingkan Preity bersama aktor-aktor lain seperti Saif Ali Khan, Chandrachur Singh, Anupam Kher, Farida Jalal, Puneet Vasishtha dan ramai lagi.

Pada tahun 2000, filem itu berjaya melakar sejarahnya sendiri apabila dinobatkan sebagai filem Bollywood dengan kutipan paling tinggi.

Kejayaan filem itu akhirnya melayakkan Preity tercalon dalam kategori Aktres Terbaik Anugerah Filmfare ke-46, sementara Honey Irani menjuarai kategori Cerita Terbaik.

Beralih ke perkembangan lain, buat masa ini Preity masih menyepi dari layar perak, yang mana kali terakhir dia dilihat berlakon adalah menerusi filem aksi komedi "Bhalaji Superhit" (2018).

(Sumber: Preity Zinta Twitter)
(Sumber foto: Box Office India, IMDB)

Cinema Online, 21 Mei 2020

Waktu Tayangan