Primeworks Studios jalin kerjasama dengan iQIYI | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Primeworks Studios jalin kerjasama dengan iQIYI

Penulis: Nisa Irina

Antara drama bersiri menarik TV3 yang akan disiarkan di iQIYI.
Antara drama bersiri menarik TV3 yang akan disiarkan di iQIYI.

27 Jul – Syarikat penerbitan dan pengedaran rancangan televisyen Malaysia, Primeworks Studios telah menandatangani perjanjian perkongsian kandungan dengan syarikat perkhidmatan hiburan dalam talian di China, iQIYI, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, kerjasama dengan iQIYI merupakan aspek penting bagi memastikan pihak mereka sentiasa mengikuti perkembangan semasa arus pemodenan yang melibatkan platform penstriman.

"Ianya bukan sahaja memberi kami peluang untuk mengikuti peredaran masa, malahan kami juga dapat mensasarkan golongan penonton baharu yang berpotensi," kata Ahmad Izham yang dipetik dari kenyataan media yang dikeluarkan.

Sehubungan dengan itu, enam drama rantaian terbaik TV3 seperti "7 Hari Mencintaiku" musim pertama dan kedua, "Leftenan Zana", "Kampung People", dan sebuah siri baru iaitu "Pengantin Satu Malam" bakal disiarkan menerusi platform penstriman tersebut.

Menurut Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapore dan Brunei, Dinesh Ratnam, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi dan strategi utama mereka dalam memberikan kandungan drama Asia terbaik dan relevan untuk pengguna serta menyediakan kandungan drama berkualiti tinggi.

"Kami amat berbangga untuk mengumumkan kerjasama kami bersama Media Prima yang secara langsung menyaksikan kejayaan iQIYI dalam menyampaikan kandungan tempatan Malaysia yang berkualiti kepada pengguna kami.

"Kerjasama ini merupakan langkah paling tepat dengan suntikan kreatif daripada pengurusan kanan Media Prima yang juga penerbit tersohor seperti Dato' Iskandar Mizal Mahmood dan Datuk Ahmad Izham Omar, kami amat mengalu-alukan pilihan drama terbaik Media Prima ini disiarkan di platform iQIYI," tambahnya lagi.

Buat makluman lanjut, drama fenomena "7 Hari Mencintaiku" musim kedua mula ditayangkan sejak 2 Julai 2020 di TV3. Episod pertama hingga 16 dilancarkan di iQIYI pada 24 Julai 2020, dan kesemua episod berikutnya tersedia di platform serta aplikasi iQIYI secara percuma selepas satu jam disiarkan di TV3.

(Sumber foto: Media Prima)

Cinema Online, 27 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Bulan Dan Pria Terhebat (Malay) (12 Mar 2020)
Ejen Ali: The Movie (Malay) (28 Nov 2019)
BoBoiBoy Movie 2 (Malay) (08 Aug 2019)


Waktu Tayangan