Priyanka Chopra bakal bintangi filem Keanu Reeves "The Matrix 4" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Priyanka Chopra bakal bintangi filem Keanu Reeves "The Matrix 4"

Penulis: Nisa Irina

Peminat tak sabar nantikan kemunculan Priyanka Chopra dalam
Peminat tak sabar nantikan kemunculan Priyanka Chopra dalam "The Matrix 4".

9 Jul – Persoalan para peminat mengenai penglibatan bintang Bollywood Priyanka Chopra Jonas dalam francais filem terbesar di Hollywood, "The Matrix 4" lakonan Keanu Reeves, akhirnya terjawab apabila dia disahkan untuk membintangi filem tersebut.

Menurut laporan dari Pinkvilla, kumpulan produksi telah pun menyambung sesi penggambaran yang kini sudah selesai dijalankan di San Francisco dan beralih ke Jerman, di mana babak Priyanka difilemkan setelah situasi COVID-19 beransur pulih.

Terdahulu, sesi penggambaran dimulakan pada Februari sebelum kumpulan produksi terpaksa menangguhkannya pada pertengahan Mac memandangkan wabak COVID-19 sedang berleluasa pada ketika itu.

Berita gembira itu telah menarik perhatian ramai peminat di media sosial yang rata-ratanya meluahkan keterujaan serta memberi ucapan tahniah buat isterinya kepada penyanyi Nick Jonas tersebut.

Selain Priyanka dan Keanu, filem itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Carrie-Anne Moss, Jada Pinkett Smith, Lambert Wilson, Neil Patrick Harris, Yahya Abdul-Mateen II dan ramai lagi.

Seperti sedia maklum, Keanu, Carrie-Anne, Jada dan Lambert akan kembali menjayakan watak mereka dari filem-filem sebelumnya, sementara buat masa ini watak Priyanka masih belum didedahkan.

Diarahkan Lana Wachowski, yang juga bertindak sebagai pengarah kepada ketiga-tiga filem sebelumnya, "The Matrix 4" dijadualkan untuk menemui penonton pada 1 April 2022.

Dalam perkembangan lain, Priyanka akan membintangi filem "The White Tiger", "We Can Be Heroes" dan "Sheela" yang bakal ditayangkan menerusi platform digital, serta sebuah siri thriller berjudul "Citadel".

(Sumber: Pinkvilla)
(Sumber foto: Wikimedia)

 

Cinema Online, 09 Jul 2020

Waktu Tayangan