"Radhe: Your Most Wanted Bhai" tampilkan lima lagu | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Radhe: Your Most Wanted Bhai" tampilkan lima lagu

Penulis: Nisa Irina

Salman Khan bersama para pelakon dan pembikin filem
Salman Khan bersama para pelakon dan pembikin filem "Radhe: Your Most Wanted Bhai".

6 Jun – Biarpun filem aksi Salman Khan "Radhe: Your Most Wanted Bhai" tidak dapat ditayangkan pada Aidilfitri ini namun laporan baru mendedahkan bahawa ia mempunyai lima buah lagu dalam runut bunyinya.

Terdahulu, penerbit Atul Agnihotri memberitahu bahawa lagu utama filem "Radhe" telah digubah oleh komposer duo terkenal Sajid-Wajid, yang telah banyak berkolaborasi dengan Salman untuk filem-filemnya.

Sehubungan dengan itu, pemergian Wajid Khan baru-baru ini juga menandakan "Radhe" adalah filem terakhir kerjasama antara dia dan Salman.

"Terdapat lima buah lagu dalam filem ini. Sajid-Wajid telah menggubah dua daripada lagu-lagu itu, yang mana salah satunya adalah lagu utama. Ia lebih kepada lagu tema dan mempunyai tona yang rancak.

"Sebuah lagi lagu gubahan Sajid-Wajid adalah lagu romantik. Komposer India Selatan, Devi Sri Prasad, turut berkolaborasi untuk lagu itu, yang mana ia adalah 'remake' "Seeti Maar" dari filem Telugu "Duvvada Jagannadham" lakonan Allu Arjun dan Pooja Hegde.

"Sebelum ini Salman dan Devi Sri Prasad pernah bekerjasama untuk lagu filem "Ready" berjudul "Dhinka Chika" yang juga sebuah 'remake'.

"Kami percaya 'remake' "Seeti Maar" juga akan mendapat sambutan. Yang keempat adalah lagu romantik yang digubah oleh Himesh Reshammiya," ujar satu sumber yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Tambahnya lagi, lagu terakhir akan menampilkan aktres yang juga rakan baik Salman iaitu Jacqueline Fernandez, dan kini pihak produksi hanya menanti untuk memfilemkan dua buah lagu sebaik sahaja Perintah Berkurung tamat.

Diarahkan oleh Prabhu Deva, filem "Radhe" turut menampilkan para pelakon lain seperti Disha Patani, Randeep Hooda, Jackie Shroff, Bharath, Gautam Gulati dan Zarina Wahab.

(Sumber: Bollywood Hungama)
(Sumber foto: Times of India)

Cinema Online, 06 Jun 2020

Waktu Tayangan