Ranveer Singh anggap Deepika Padukone tulang belakang perjalanan kariernya | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Ranveer Singh anggap Deepika Padukone tulang belakang perjalanan kariernya

Penulis: Nisa Irina

Pasangan Ranveer Singh dan Deepika Padukone saling melengkapi antara satu sama lain.
Pasangan Ranveer Singh dan Deepika Padukone saling melengkapi antara satu sama lain.

30 Mei – Setiap lelaki mempunyai seorang wanita sebagai pemangkin semangat dan tulang belakang begitu juga dengan aktor Ranveer Singh yang gembira mempunyai isteri seperti Deepika Padukone dalam hidupnya.

"Deepika adalah panduan dan pemangkin kepada saya. Mungkin saya tidak akan capai apa yang saya punyai sekarang tanpa dia.

"Ini merupakan tahun kesepuluh saya berada dalam industri hiburan dan tiga tahun saya bersama dia. Mungkin saya akan hilang arah dan tidak dapat menahan tekanan menjadi bintang filem jika dia tiada di sisi saya.

"Dia bimbang kerana dia tahu saya akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan hasil terbaik bagi watak yang saya jayakan," katanya yang dipetik dari The Indian Express.

Menurut Ranveer, kenangan yang paling pahit sepanjang kariernya sebagai pelakon adalah kecederaan parah yang dialami ketika terlibat dengan penggambaran filem "Bajirao Mastani" pada 2015.

Difahamkan ketika itu ligamen bahunya koyak, menyebabkan Ranveer berasa hampa kerana tidak dapat meneruskan penggambaran babak-babak aksi yang akhirnya terpaksa ditunda sehingga dia pulih.

Walau bagaimanapun, perasaan kecewa aktor itu digantikan dengan kejayaan filem berkenaan selepas ia ditayangkan, sekaligus menjadikan ia salah satu filem Bollywood dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.

"Saya belajar untuk tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan atau terlalu kecewa dengan kegagalan. Itulah cara kehidupan yang sepatutnya. Kini saya hanya akan memfokuskan apa yang berlaku sekarang," tambahnya lagi.

Dalam perkembangan baru, Ranveer sedang menantikan tayangan filem sukan "83'" dan filem polis "Sooryavanshi", di mana kedua-dua tarikh tayangannya terpaksa ditunda akibat COVID-19.

Selain itu, Ranveer juga bakal tampil dalam sebuah filem komedi terbitan Yash Raj Films berjudul "Jayeshbhai Jordaar" arahan pengarah baru Divyang Thakkar.

(Sumber: The Indian Express)
(Sumber foto: Filmfare)

Cinema Online, 30 Mei 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan