Rashidi Ishak kembali aktif dalam bidang muzik secara solo | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Rashidi Ishak kembali aktif dalam bidang muzik secara solo

Penulis: Nisa Irina

Rashidi Ishak bakal terbitkan lagu-lagu baru yang lain pada hujung tahun 2020.
Rashidi Ishak bakal terbitkan lagu-lagu baru yang lain pada hujung tahun 2020.

5 Ogos – Sekian lama berehat dari bidang muzik untuk memberi fokus terhadap lakonan, pelakon Rashidi Ishak memberi gambaran kepada peminat untuk kembali aktif selepas menerbitkan sebuah lagu baru berjudul "Berdiri".

Menurut Rashidi, masa yang terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan dengan sebaik mungkin untuk menghasilkan beberapa lagu yang dijangka terbit pada hujung tahun ini.

Sehubungan dengan itu, pelakon filem "Sindiket" tersebut turut memuat naik sebuah video muzik lirik lagunya di saluran YouTube rasmi Rashidi Ishak.

"Percaya atau tidak lagu ini terhasil semasa PKP tempoh hari. Sepanjang PKP saya menulis lagu. Setakat ini, bahan lagu saya dah boleh hasilkan satu album dah. Banyak juga.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada anda yang menghubungi saya di DM ('direct message') dan anda yang dengar atau tonton video muzik lirik lagu "Berdiri" ini di YouTube. Yang dah melanggan, terima kasih.

"Kalau ada rezeki bolehlah saya rakamkan lagu lagi, nanti boleh saya hasilkan EP ('extended play'). Mungkin akan dimuat naik di Spotify. Saya pemuzik indie, semuanya saya buat sendiri," tulisnya menerusi laman Instagram miliknya.

Setakat ini, video muzik lagu "Berdiri" telah pun mencecah lebih seribu tontonan dengan 83 tanda suka. Ini merupakan kali pertama pelakon itu mengeluarkan lagu secara solo.

Buat makluman lanjut, Rashidi bertindak sebagai gitaris kepada kumpulan muzik arena bawah tanah iaitu Dead Mushroom, yang terkenal dengan menyampaikan lagu-lagu bahasa Inggeris.

Dalam perkembangan lain, Rashidi bakal kembali dalam drama rantaian komedi "Kampung People" musim kedua yang akan ditayangkan di TV3 bermula September ini!

(Sumber foto: Rashidi Ishak Instagram)

Cinema Online, 05 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Bulan Dan Pria Terhebat (Malay) (12 Mar 2020)
Bu (Malay) (11 Apr 2019)
Sindiket (Malay) (06 Apr 2017)


Waktu Tayangan