Riena Diana tangguh penggambaran "By The Sea" musim kedua | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Riena Diana tangguh penggambaran "By The Sea" musim kedua

Penulis: Nisa Irina

Riena Diana terpaksa tolak ajakan peminat untuk bergambar demi keselamatan.
Riena Diana terpaksa tolak ajakan peminat untuk bergambar demi keselamatan.

26 Mac – Pelakon Riena Diana dilaporkan terpaksa menangguhkan penggambaran bagi program makan angin "By The Sea" musim kedua di Langkawi, Kedah akibat kebimbangan pandemik COVID-19.

Menurut pemilik nama asal Nur Qamarina Diana Zulreal itu, pihak produksi perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu.

"Jika mengikut perancangan, saya ada penggambaran di Langkawi, Kedah, di mana 10 episod lagi untuk disiapkan tetapi tak mengapa kerana kesihatan dan keselamatan perlu diutamakan.

"Kemudian, saya sepatutnya ada rakaman di studio. Namun, saya terpaksa tolak kerana saya baru pulang dari Langkawi dan Bali, Indonesia.

"Risau jika terjadi apa-apa pada orang lain, saya tak akan maafkan diri sendiri," katanya yang dipetik dari laporan BH Online.

Bercakap lanjut mengenai PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April, Riena mengambil kesempatan untuk menasihatkan orang ramai supaya akur dengan arahan kerajaan dan melakukan aktiviti berfaedah di rumah.

Pelakon drama sensasi "Kampung People" itu turut menjelaskan dia terpaksa menolak ajakan peminat yang ingin bergambar ketika dia keluar membeli barang keperluan demi menjaga keselamatan.

(Sumber foto: Riena Diana Instagram)

Cinema Online, 26 Mac 2020

Waktu Tayangan