Riena Diana tolak tawaran berlakon akibat masalah kesihatan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Riena Diana tolak tawaran berlakon akibat masalah kesihatan

Penulis: Nisa Irina

Riena Diana akan kembali bekerja selepas tahap kesihatannya pulih.
Riena Diana akan kembali bekerja selepas tahap kesihatannya pulih.

28 Okt – Pelakon yang sedang mencipta nama, Riena Diana akui tidak senang duduk selepas terpaksa menolak tawaran berlakon pada saat akhir akibat masalah kesihatan yang dihadapinya baru-baru ini.

Menurut pelakon yang melonjak naik menerusi drama fenomena "Kampung People" itu, dia telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta pada Isnin lalu selepas mengalami muntah berterusan dan lemah badan.

"Buat pertama kali saya terpaksa tolak tawaran berlakon pada saat akhir. Saya tak pernah buat perangai macam ini. Sampaikan saya terlalu banyak berfikir.

"Saya bimbang ada pihak yang marahkan saya. Tetapi saya cuba jelaskan terlebih dahulu kepada pihak produksi yang saya tak dapat nak berlakon.

"Nasib baik, pihak produksi dan TV3 memahami keadaan saya. Selepas ini saya kena berpada-pada apabila menerima tawaran kerja," ujarnya yang dipetik dari mStar Online.

Sehubungan dengan itu, Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, dinasihatkan untuk berehat secukupnya dan hanya menyambung kerja selepas tahap kesihatannya kembali pulih.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan keadaan saya. Buat masa sekarang saya berehat di rumah nenek dan akan sambung kerja selepas betul-betul sihat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Riena akan kembali ke kaca televisyen sebagai pengacara buat pertama kali bagi program makan angin "By The Sea" musim kedua yang akan bersiaran di TV3 bermula 7 November ini.

(Sumber foto: Riena Diana Instagram)

Cinema Online, 28 Okt 2020

Waktu Tayangan