Buletin
Riteish Deshmukh bakal bintangi filem trilogi "Shivaji"


Tarikh disiarkan: 21 Februari 2020

Riteish Deshmukh akan galas watak raja Maratha, Shivaji Bhosale.
Riteish Deshmukh akan galas watak raja Maratha, Shivaji Bhosale.

21 Feb – Aktor Riteish Deshmukh mengumumkan bahawa dia bakal berkolaborasi dengan pengarah Nagraj Manjule bagi menjayakan sebuah filem Marathi berkenaan raja dan pewira Empayar Maratha, Shivaji Bhosale I.

Sehubungan dengan itu, Riteish turut mendedahkan bahawa projek itu akan dihasilkan dalam bentuk trilogi, dengan judul-judul sementara iaitu "Shivaji", "Raja Shivaji" dan "Chhatrapati Shivaji".

Menurut laporan dari DNA India, Riteish membuat pengumuman itu menerusi laman Twitter bersempena dengan ulang tahun kelahiran Shivaji ke-390 yang disambut oleh masyarakat di India.

Walaubagaimanapun, barisan pelakon lain yang akan ditampilkan dalam filem trilogi berkenaan masih belum didedahkan buat masa ini.


Dalam pada itu, Nagraj turut mendedahkan dia bakal bekerjasama dengan dua pengarah muzik terkenal, Ajay dan Atul Gogavale, untuk menghasilkan runut bunyi bagi trilogi tersebut.

Seperti yang diberitahu oleh Nagraj menerusi video 'teaser' yang dimuat naik baru-baru ini, filem "Shivaji" dijangka untuk ditayangkan pada 2021.

Untuk rekod, sebelum ini Riteish pernah membintangi dua buah filem Marathi iaitu "Lai Bhaari" (2014) dan "Mauli" (2018).

Beralih ke perkembangan lain, Riteish akan kembali ke layar perak menerusi filem aksi "Baaghi 3" arahan Ahmed Khan yang turut diterajui oleh Tiger Shroff. Ia akan ditayangkan pada 6 Mac 2020.

(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: Eastern Eye & Amazon India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide