8 Jul – Sejak pawagam di seluruh Malaysia dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Julai mengikut Standard Operating Procedure (SOP), para penerbit sudah mula menyusun atur tarikh tayangan filem masing-masing. Sementara terdapat segelintir penerbit memilih untuk menayangkan filem mereka di platform digital dan stesen televisyen satelit, lain pula syarikat produksi Kuman Pictures yang kekal menayangkan filem mereka di pawagam. Sehubungan dengan itu, Kuman Pictures mengumumkan bahawa filem seram "Roh" sudah pun menetapkan tarikh tayangannya yang baru iaitu pada 6 Ogos depan, menerusi laman Twitter Kuman Pictures baru-baru ini.
#FilemROH tetap ke pawagam mulai 6 Ogos 2020. Senarai pawagam akan menyusul. Terima kasih! pic.twitter.com/bqYyLNwT68 - filem ROH mulai 6 Ogos 2020 (@KumanPictures) July 3, 2020
#FilemROH tetap ke pawagam mulai 6 Ogos 2020. Senarai pawagam akan menyusul. Terima kasih! pic.twitter.com/bqYyLNwT68
Terdahulu, tayangan filem "Roh" dijadualkan pada 19 Mac namun ditunda gara-gara wabak COVID-19 semakin berleluasa dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan itu, ia sekaligus menandakan "Roh" sebagai filem Malaysia pertama dan satu-satunya filem Malaysia yang ditayangkan di pawagam bersama filem-filem antarabangsa seperti "Tenet" dan "Mulan".
Filem cereka sulung arahan Emir Ezwan ini hanya menampilkan enam orang pelakon sahaja iaitu Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron dan isteri Junainah M. Lojong, serta Putri Syahadah Nurqaseh. Untuk rekod, filem "Roh" telah menerima tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Singapura dan Festival Filem Asia Jogja-NETPAC pada tahun lalu, dan kini ia sedang ditayangkan di Festival Filem Far East (FEFF22) di Itali. (Sumber foto: Kuman Pictures Twitter)