Sering ditawar watak komedi, Ropie akui tak ambil hati | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Sering ditawar watak komedi, Ropie akui tak ambil hati

Penulis: Nisa Irina

Ropie tak pernah bersikap selektif terhadap tawaran lakonan.
Ropie tak pernah bersikap selektif terhadap tawaran lakonan.

26 Okt – Biarpun wajahnya seringkali muncul dalam karya berunsur komedi, namun pelakon dan pelawak Ropie Cecupak tidak pernah mempersoalkan tawaran daripada mana-mana pihak produksi.

Menurut pemilik nama sebenar Zahid Tajuddin itu, biarpun mengakui mengidamkan watak yang lebih serius, namun dia tidak terkilan jika sering menjadi pilihan untuk membawa watak komedi.

"Sebelum ini hanya ada tiga pengarah sahaja yang tawarkan watak serius kepada saya iaitu Liza Ismail, Zul Arshad dan Ghani G. Selepas itu tawaran lebih kepada watak komedi sahaja.

"Susah nak dapat watak lain sebab orang dah anggap kita pelawak. Sama macam Ebby Yus dan Bell Ngasri, bila dah buat komedi, orang tak tawarkan lagi watak serius.

"Saya tak terkilan sebab jiwa saya memang nak jadi pelawak sebelum bergelar artis. Sekarang ini jadi pelawak tak macam dulu.

"Alhamdulillah, sekarang ini stesen televisyen terbitkan pelbagai rancangan komedi. Mungkin saya tak sehebat mereka tetapi ianya berbaloi," katanya yang dipetik dari laporan mStar Online.

Terdahulu, bintang filem "Hantu Kak Limah" itu pernah memberitahu bahawa dia tidak pernah bersikap selektif terhadap tawaran berlakon, sebaliknya menerima apa sahaja watak yang bersesuaian dengan dirinya.

Dalam perkembangan lain, tahun ini Ropie telah membintangi beberapa filem seperti "Manap Karaoke", "Syif Malam Raya", "Kenderaan Berat Ikut Kiri", "Masuk Jawi" dan "Pasal Kau!".

(Sumber foto: Ropie Instagram)

Cinema Online, 26 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Masuk Jawi (Melayu) (Not Showing)
Kenderaan Berat Ikut Kiri (Melayu) (Undated)
Syif Malam Raya (Melayu) (30 Jul 2020)


Waktu Tayangan