Aditya Roy Kapur teringin kerja di belakang tabir | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Aditya Roy Kapur teringin kerja di belakang tabir

Penulis: Nisa Irina

Aditya Roy Kapur lahir dari keluarga yang berdarah seni.
Aditya Roy Kapur lahir dari keluarga yang berdarah seni.

26 Feb – Pengalamannya membintangi lebih sepuluh buah filem dan datang dari keluarga berdarah seni membuatkan aktor Aditya Roy Kapur mendedahkan keinginannya untuk bekerja di belakang tabir.

"Saya tak rasa saya sesuai untuk menceburi dunia penerbitan, tetapi saya teringin untuk mengarah filem. Lebih banyak saya berlakon, lebih banyak saya sedar usaha yang diperlukan untuk mengarah filem.

"Ia merupakan salah satu kerjaya yang agak sukar. Namun sehingga saya menemui kisah yang saya ingin ceritakan, saya tak akan duduk di bangku pengarah," ujarnya yang dipetik dari Times of India.

Buat pengetahuan lanjut, abang sulung kepada aktor berusia 34 tahun ini, Siddharth Roy Kapur merupakan Ketua Pegawai Eksekutif UTV Motion Pictures telah berkahwin dengan aktres Vidya Balan.

Sementara abang keduanya pula, Kunaal Roy Kapur, merupakan seorang pengarah dan aktor bagi filem-filem seperti "Delhi Belly", "Yeh Jawaani Hai Deewani" dan "Love per Square Foot".

Terkini, Aditya sedang meraikan kejayaan filem terbarunya "Malang", arahan Mohit Suri, yang ditayangkan sejak awal Februari lalu. Jumlah kutipan yang dicatatkan setakat ini adalah lebih 76 crore (kira-kira RM44.9 juta).

Selain itu, dia juga bakal muncul dengan tiga buah filem baru iaitu "Ludo", "Sadak 2" dan "Ek Villain 2".

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Magzter)

Cinema Online, 27 Feb 2020

Waktu Tayangan