Filem Ajay Devgn "RRR" sambung penggambaran dengan kru terhad? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Filem Ajay Devgn "RRR" sambung penggambaran dengan kru terhad?

Penulis: Nisa Irina

 Ajay Devgn bersama N. T. Rama Rao Jr., Ram Charan dan S. S. Rajamouli.
Ajay Devgn bersama N. T. Rama Rao Jr., Ram Charan dan S. S. Rajamouli.

5 Jun – Filem aksi sejarah Telugu "RRR" lakonan Ajay Devgn dilaporkan akan menyambung sesi penggambarannya yang tertunda sebaik sahaja tempoh Perintah Berkurung di India ditamatkan.

Menurut laporan dari Republic World, pengarah terkenal S. S. Rajamouli telah memberi arahan untuk menyambung penggambaran dengan bilangan kru yang terhad bagi memastikan keselamatan di set terjamin.

Susulan itu, pihak produksi "RRR" juga akan menghasilkan sebuah video di sebalik tabir istimewa yang menunjukkan mereka melakukan kerja mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Jika perancangan itu diteruskan, maka ia menandakan "RRR" sebagai filem Tollywood pertama yang akan menyambung penggambarannya seperti filem Hindi Alia Bhatt "Gangubai Kathiawadi".

Walau bagaimanapun, setakat ini S. S. Rajamouli atau pihak produksi masih belum mengumumkan kenyataan rasmi mahupun mengesahkan berita berkenaan.

Difahamkan masih banyak lagi babak yang belum sempat difilemkan dan pihak produksi perlu mengejar masa untuk menyiapkan filem berbajet besar itu secepat mungkin sebelum tarikh rilis.

Terdahulu, pihak produksi menetapkan tarikh rilis filem itu pada 30 Julai 2020, sebelum ia ditunda ke 8 Januari 2021. Poster dan logo judul filem telah pun didedahkan pada Mac lalu.

Selain Ajay, filem "RRR" turut dibintangi oleh N. T. Rama Rao Jr., Ram Charan, Alia Bhatt, Ray Stevenson, Alison Doody. Selain Telugu, ia juga akan dirilis dalam versi Tamil, Hindi, Kannada dan Malayalam.

(Sumber: Republic World)
(Sumber foto: India Today)

Cinema Online, 05 Jun 2020

Waktu Tayangan