Sekuel "Ejen Ali The Movie" bakal direalisasikan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Sekuel "Ejen Ali The Movie" bakal direalisasikan

Penulis: Nisa Irina

Apakah misi Ali dalam "Ejen Ali The Movie 2"?
Apakah misi Ali dalam "Ejen Ali The Movie 2"?

29 Nov – Genap setahun sudah tayangan filem animasi Malaysia bertaraf antarabangsa "Ejen Ali The Movie" di pawagam dan kini syarikat produksi WAU Animation mengumumkan bahawa sekuel "Ejen Ali The Movie 2" kini dalam pembikinan.

Ternyata keterujaan para peminat kian membara apabila berita gembira itu dikongsikan menerusi poster 'teaser' dan draf kedua bagi filem itu yang dikongsikan menerusi laman sosial rasmi "Ejen Ali" dan pengarah Usamah Zaid Yasin.

Walau bagaimanapun, segala butiran lanjut mengenai filem sekuel itu belum didedahkan memandangkan ia masih berada dalam fasa pra-produksi.

Seperti yang dikongsikan pihak WAU Animation, skrip "Ejen Ali The Movie 2" ditulis oleh Usamah Zaid Yasin bersama Hilman Muhamad, Shafiq Isa dan Khai Suwandi.

Dengan plot dan jalan cerita baru bagi "Ejen Ali The Movie 2", siapa tahu ia berkemungkinan untuk melepasi jumlah kutipan RM30 juta yang diraih menerusi filem pertama.

Terdahulu, "Ejen Ali The Movie" berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pula apabila bakal sertai dua festival filem iaitu Cartoons On The Bay, Itali dan ASEAN Film Week 2020 di Vietnam.

Selain itu, "Ejen Ali The Movie" turut menjuarai kategori Arahan Terbaik (Fiksyen) di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2020. Ia menandakan tahun kedua "Ejen Ali" di AAA selepas memenangi kategori Program Animasi 3D Terbaik atau kategori Siri (Malaysia) pada 2018.

Bagi peminat yang masih belum menonton atau ingin menonton semula "Ejen Ali The Movie", ia kini ditayangkan menerusi platform penstriman video berbayar popular Netflix sejak 1 November lalu.

(Sumber foto: Usamah Zaid Yasin Twitter)

Cinema Online, 29 Nov 2020

Filem Berkaitan:
Ejen Ali: The Movie (Melayu) (28 Nov 2019)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan