Selebriti-selebriti Bollywood nyahaktifkan akaun media sosial | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Selebriti-selebriti Bollywood nyahaktifkan akaun media sosial

Penulis: Nisa Irina

Kriti Sanon dan Sonakshi Sinha akui media sosial adalah tempat yang toksik dan penuh perkara negatif.
Kriti Sanon dan Sonakshi Sinha akui media sosial adalah tempat yang toksik dan penuh perkara negatif.

23 Jun – Kematian aktor Sushant Singh Rajput bukan sahaja menimbulkan kekecewaan ramai, malah menimbulkan kekecohan di media sosial baru-baru ini di mana warganet mula mengecam selebriti-selebriti Bollywood.

Lantaran itu, seperti yang dilaporkan oleh Hindustan Times, beberapa selebriti terkenal membuat keputusan untuk menyahaktifkan akaun media sosial media bagi mengelakkan negativiti yang mengganggu fikiran dan emosi mereka.

"Langkah pertama untuk melindungi kewarasan anda adalah jauhi negativiti. Dan tiada apa yang lebih negatif daripada Twitter sejak akhir-akhir ini! Saya menyahaktifkan akaun saya. Selamat tinggal semua," tulis Sonakshi Sinha yang dimuat naik di Instagram.

Selain Sonaksi, beberapa aktor yang turut menyahaktifkan akaun Twitter mereka ialah Shashank Khaitan, Zaheer Iqbal, Saqeeb Saleem dan Aayush Sharma dengan menjelaskan alasan yang sama.

Buat pengetahuan lanjut, sebelum ini aktres Kriti Sanon telah pun menyuarakan pendapatnya mengenai negativiti yang semakin berleluasa di media sosial susulan kematian Sushant baru-baru ini.

"Media sosial adalah tempat paling PALSU, dan paling toksik. Jika anda tidak memuat naik perkongsian mengenai kematian atau berkata sesuatu secara umum, anda dianggap tidak meratapi kematian seseorang itu.

"Nampaknya media sosial adalah dunia 'sebenar' sekarang ini, dan dunia sebenar telah menjadi 'palsu'," tulis Kriti menerusi satu perkongsian panjang yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya.

Perkara itu juga dipersetujui oleh ahli psikologi klinikal Pulkit Sharma, yang menyatakan jika seseorang selebriti itu berada di India dan China, maka dia perlu memuat naik perkongsian berkenaan kematian atau perkahwinan seseorang.

"Sebagai selebriti, kamu perlu melakukan perkara itu. Ia bagaikan sesiapa yang menjadi pengikut kamu, biarpun kamu tidak berinteraksi dengan mereka, tetapi mereka akan terus menghakimi kamu melalui perkongsian kamu. Itulah tekanan yang dihadapi di sini," katanya.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Filmfare & Telangana Today)

Cinema Online, 23 Jun 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan