Sharifah Amani bersyukur masih dihujani tawaran berlakon | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Sharifah Amani bersyukur masih dihujani tawaran berlakon

Penulis: Nisa Irina

Sharifah Amani lega filemnya kekal dalam ingatan dan jiwa penonton.
Sharifah Amani lega filemnya kekal dalam ingatan dan jiwa penonton.

11 Sep – Sejak akhir-akhir ini, pelakon Sharifah Amani dilihat aktif di media sosial terutamanya di laman Twitter, atas usahanya untuk memperjuangkan hak orang ramai dan menyuarakan pendapat berkenaan isu-isu semasa.

Biarpun begitu, pemilik nama sebenar Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya itu meluahkan rasa syukur atas rezeki tawaran berlakon yang tidak putus-putus diterimanya sehingga kini.

"Okay apa dari 17 tahun sampai 34 tahun jarang-jarang putus filem tayang di pawagam. Walaupun sibuk memperjuangkan kebenaran, rezeki berlakon tetap ada. Syukur Alhamdulillah.

"Lebih kuat usaha saya memperjuangkan hak orang lain, lebih cepat keberkatan melimpah. Teruskan berbakti kepada orang lain. Insya-Allah, Dia akan menjaga yang selebihnya," tulis Amani di laman Twitter miliknya.

Baru-baru ini, pelakon yang popular dengan filem "Mukhsin" itu ligat bersuara mengenai isu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin, yang didakwa tidak mengambil peperiksaan seperti yang dipaparkan menerusi videonya.

Dalam pada itu, Amani turut berbangga atas filem-filemnya menjadi topik pembelajaran di sekolah serta kekal dalam ingatan dan jiwa penonton biarpun kadangkala filem-filem itu kurang mendapat sambutan di pawagam.

"Matlamat utamanya bukanlah untuk membuat duit semata-mata, tetapi adalah untuk melakar sejarah. Semoga dipermudahkan," tambahnya lagi.

Amani bakal muncul dengan filem "Zombitopia" bersama pelakon Shaheizy Sam yang dijangka tayang pada 2021, dan filem "Mencari Rahmat" yang bakal ditayangkan di pawagam pada 31 Disember 2020.

(Sumber foto: Sharifah Amani Instagram)

 

Cinema Online, 11 Sept 2020

Filem Berkaitan:
Motif (Melayu) (26 Sept 2019)
Gol Dan Gincu Vol. 2 (Melayu) (25 Okt 2018)
Mencari Rahmat (Melayu) (31 Dis 2020) [Trailers]


Waktu Tayangan