Buletin
Sharnaaz Ahmad kembali dengan watak antagonis dalam "Polis Evo 3"


Tarikh disiarkan: 28 Januari 2020

Sharnaaz Ahmad tidak boleh dedahkan butiran lanjut mengenai wataknya dalam "Polis Evo 3".
Sharnaaz Ahmad tidak boleh dedahkan butiran lanjut mengenai wataknya dalam "Polis Evo 3".

28 Jan – Pelakon Sharnaaz Ahmad sememangnya terkenal dengan watak-watak antagonis lakonannya, dan terbaru aktor itu akan sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjayakan watak antagonis dalam filem aksi "Polis Evo 3".

Menurut Sharnaaz, dia bersetuju untuk membintangi filem aksi kepolisan itu kerana watak antagonis yang ditawarkan kepadanya adalah satu watak yang cukup berbeza dan belum pernah dijayakan sebelum ini.

"Saya teruja apabila dapat terlibat dalam filem "Polis Evo 3" kerana ia sebuah francais yang mempunyai peminatnya tersendiri. Ya, dalam filem ini saya membawa watak antagonis tetapi bukanlah watak antagonis 'klise' atau seperti yang pernah saya jayakan sebelum ini.


"Apa yang saya boleh cakap, watak saya ini ada kaitan dengan watak Inspektor Khai (Shaheizy Sam). Tetapi saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut mengenai watak saya, jadi nak tahu macama mana watak saya kenalah tonton filem ini nanti," ujarnya yang ditemui di lokasi penggambaran "Polis Evo 3" di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memegang watak sebagai Reza, pelakon berusia 34 tahun itu berdepan cabaran besar kerana ia bukan watak antagonis biasa sebaliknya watak antagonis yang menuntutnya bermain dengan emosi.

Filem ketiga dari francais popular itu akan diarahkan oleh pengarah muda terkenal iaitu Syafiq Yusof.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata walaupun wataknya agak serius namun filem ketiga ini akan mengembalikan 'feel' seperti filem pertama iaitu menjurus ke genre aksi komedi, berbeza dengan filem kedua yang lebih serius apabila mengetengahkan isu pengganas.

Selain Sharnaaz, Shaheizy Sam dan Zizan Razak akan kembali menghidupkan watak asal mereka sebagai Inspektor Khai dan Inspektor Sani.

Nora Danish juga akan kembali menghidupkan watak asalnya sebagai Anis iaitu adik kepada Inspektor Sani.

Filem terbitan Astro Shaw dan Skop Production ini dijangka akan ditayangkan pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)
Polis Evo 2 (Melayu) (22 November 2018)





Ticket Pricing Guide