Buletin
Sidharth Malhotra galas dua watak dalam 'remake' "Thadam"


Tarikh disiarkan: 27 Februari 2020

Sidharth Malhotra akan jalani ujian dan bengkel penampilan watak pada April.
Sidharth Malhotra akan jalani ujian dan bengkel penampilan watak pada April.

27 Feb – Aktor Sidharth Malhotra disahkan untuk membintangi sebuah 'remake' filem aksi thriller Tamil, "Thadam", yang mana memerlukan dia untuk menggalas dua watak sepertimana filem asal.

"Sid akan membawa watak seorang ahli perniagaan yang menawan dan seorang samseng. Dia akan menjalani beberapa ujian penampilan dan bengkel pada bulan April bagi mencipta watak-watak itu.

"Dalam pada pembikin filem cuba mencari aktres yang sesuai untuk dijadikan peneraju utama, mereka juga telah bersetuju untuk menjalankan penggambaran di beberapa lokasi sebenar di Delhi.

"Ia diputuskan selepas mereka membuat perbincangan dan peninjauan. Babak kejar-mengejar akan difilemkan di jalan raya yang sibuk," dedah satu sumber menerusi Mumbai Mirror.

Diterbitkan oleh Murad Khetani dan Bhushan Kumar, filem 'remake' itu juga menandakan kolaborasi kedua mereka selepas menghasilkan 'remake' filem Telugu "Arjun Reddy" versi Hindi iaitu "Kabir Singh".


Beralih ke jalan cerita, ia berkisarkan tentang dua watak yang wajahnya seiras diburu oleh pihak polis selepas berlakunya satu pembunuhan.

Filem asal diarahkan oleh Magizh Thirumeni, diterajui oleh Arun Vijay sebagai watak Ezhil dan Kavin, sementara peneraju wanitanya dilakonkan oleh Vidya Pradeep dan Tanya Hope.

Beralih ke perkembangan lain, Sidharth yang kali terakhir membintangi "Marjaavaan", bakal muncul dalam filem "Shershaah", di mana dia akan menjayakan watak Kapten Vikram Batra.

Diterbitkan oleh Karan Johar, "Shershaah" akan menemui penonton di pawagam pada 3 Julai 2020.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Elsetge.Cat)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide