Sidharth Malhotra bakal terajui filem 'remake' Telugu? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Sidharth Malhotra bakal terajui filem 'remake' Telugu?

Penulis: Nisa Irina

Sidharth Malhotra akan kembali bekerjasama  dengan kumpulan produksi
Sidharth Malhotra akan kembali bekerjasama dengan kumpulan produksi "Marjaavaan".

7 Jan – Selepas menjayakan filem "Marjaavaan", aktor Sidharth Malhotra dilaporkan bakal menerajui sebuah 'remake' filem Telugu yang bakal diterbitkan oleh Dil Raju dengan kerjasama Bhushan Kumar dan Nikhil Advani.

Menurut laporan dari Eastern Eye, pasukan produksi telah pun berbincang dengan Sidharth mengenai filem itu sebelum filem "Marjaavaan" ditayangkan di pawagam pada November tahun lalu.

"Baru-baru ini, Bhushan menghubungi Sidharth untuk sebuah filem aksi baru yang mana skripnya akan ditulis oleh Milap Zaveri. Sidharth telah memberi lampu hijau kepada projek itu.

"Setakat ini pembikin filem sedang menyiapkan kertas kerja bagi mendapatkan hak cipta secara rasmi untuk filem yang belum diberi judul ini.

"Mereka merancang untuk memulakan penggambaran untuk filem pada suku kedua tahun ini selepas skrip selesai ditulis dan mendapat pengarah," dedah satu sumber.

Buat pengetahuan lanjut, Dil Raju merupakan penerbit bagi filem-filem seperti "F2 – Fun and Frustation", "Yevadu" dan 'remake' filem "Jersey" versi Hindi.

Beralih ke perkembangan lain, Sidharth akan tampil membintangi filem "Shershaah" terbitan Karan Johar. Filem arahan Vishnuvardhan itu mengisahkan tentang kehidupan Kapten Vikram Batra.

Kapten Vikram Batra merupakan seorang pegawai dalam Tentera India yang terkorban ketika Perang Kargil 1999. Filem itu turut dibintangi oleh aktres Kiara Advani sebagai peneraju wanita utama.

(Sumber foto: Sidharth Malhotra Instagram)
(Sumber artikel: Eastern Eye)

Cinema Online, 07 Jan 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan