Buletin
Siti Nordiana mahu Nabila Huda lakon wataknya dalam drama biografi


Tarikh disiarkan: 20 Januari 2020

Siti Nordiana akui tidak mahu berlakon dalam drama biografinya.
Siti Nordiana akui tidak mahu berlakon dalam drama biografinya.

20 Jan – Pelakon dan penyanyi Siti Nordiana memberitahu dia ingin melihat Nabila Huda melakonkan wataknya jika buku biografinya "Life Goes On" diangkat sebagai drama ke kaca televisyen.

"Saya membayangkan Nabila Huda. Dia sangat bagus dalam menjayakan watak berat. Tapi, tidak dinafikan ada lagi beberapa pelakon yang bagus.

"Sejujurnya, ketika menghasilkan buku ini saya tidak terfikir jauh pun jika ia mahu diadaptasi ke kaca TV. Cuma, saya bersyukur dan terkejut dengan sambutan diberikan," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, dia enggan berlakon dalam drama itu kerana bimbang tidak berjaya bermain dengan emosi sepertimana yang ada dalam buku tersebut.


Dalam pada itu, Nana meluahkan rasa syukur kerana bukunya mendapat sambutan serta menerima tawaran daripada beberapa syarikat produksi yang ingin mengadaptasi kisah hidupnya ke drama.

"Kalau selepas ini ada lagi, saya terbuka saja sebab saya mendapat banyak maklum balas mengatakan buku ini memberikan inspirasi kepada mereka. Mungkin mereka ingin merasai lebih dalam lagi perjalanan hidup saya.

"Bagi saya, jika perkara ini dapat direalisasikan, ia bukan bertujuan untuk memalukan saya atau mana-mana pihak, tetapi mahu memberikan inspirasi," tambahnya lagi.

Kali terakhir Nana dilihat berlakon adalah menerusi drama bersiri "Satukan Rasa" yang ditayangkan pada tahun lalu di mana Nana digandingkan bersama penyanyi Khai Bhar.

(Sumber foto: Siti Nordiana Instagram)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide