Siti Saleha tak kejar tawaran berlakon kerana utamakan kualiti | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Siti Saleha tak kejar tawaran berlakon kerana utamakan kualiti

Penulis: Ashraf Nasser

Siti Saleha tak gentar dengan persaingan daripada pelakon baru.
Siti Saleha tak gentar dengan persaingan daripada pelakon baru.

14 Jul – Nama pelakon Siti Saleha sejak setahun dua ini agak tenggelam dan kelibatnya sudah jarang dilihat di kaca televisyen mahu pun di layar perak selepas mendirikan rumah tangga, namun ia bukan bermakna pelakon itu sudah tidak lagi berminat untuk berlakon sebaliknya dia masih aktif.

Menurut Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd Baharom, selepas lebih sedekad berkecimpung dalam dunia lakonan dia kini sangat selektif terhadap tawaran yang diterima.

"Saya ambil tawaran berlakon ikut kualiti kerja. Memang tidak dinafikan saya senyap sedikit. Saya hanya sesekali saja muncul berlakon. Pada tahap sekarang, saya okey dengan cara begitu.

"Saya lebih selektif dan teliti dalam menimbang apa sahaja projek dalam sebarang platform. Seperti tahun lalu, buat kali pertama, saya cabar diri berlakon drama dalam talian "Black" melalui Viu Malaysia.

"Percaturan menjadi apabila skrip drama dalam talian itu cukup baik. Jadi pilihan saya tepat kerana sedar hala tuju industri seni adalah digital, tidak semata-mata tv," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Bercerita lanjut mengenai perkembangan seninya, pelakon "Langit Cinta" ini berkata dia bakal kembali menghidupkan watak asalnya dalam drama "7 Hari Mencintaiku" yang diterbitkan oleh SR One Sdn Bhd.

Siti Saleha atau lebih mesra dengan panggilan Sally berkata dia tidak fikir panjang untuk bersetuju membintangi drama itu kembali kerana naskhah itu mempunyai jalan cerita dan watak yang menarik.

Selain drama, dia juga bakal muncul dengan dua buah filem terbaru berjudul "Proksi" dan "Rajawali: Aku Abang Long".

(Sumber foto: Siti Saleha Instagram)

Cinema Online, 14 Jul 2020

Filem Berkaitan:
Langit Cinta (Malay) (07 Jan 2016)
Pak Pong (Malay) (23 Feb 2017)
7ujuh (Malay) (08 Nov 2018)


Waktu Tayangan