Shah Rukh Khan gagal ambil Jackie Chan untuk berlakon dalam "Ra.One" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Shah Rukh Khan gagal ambil Jackie Chan untuk berlakon dalam "Ra.One"

Penulis: Nisa Irina

 Shah Rukh Khan berharap dapat jalin kerjasama dengan Jackie Chan pada masa akan datang.
Shah Rukh Khan berharap dapat jalin kerjasama dengan Jackie Chan
pada masa akan datang.

16 Jul – Bintang Bollywood Shah Rukh Khan mendedahkan bahawa dia pernah menawarkan filem adiwira pecah panggung "Ra.One" kepada bintang filem seni bela diri terkenal Jackie Chan pada 2010.

Walau bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian memandangkan kadar bayarannya agak mahal, namun ia tidak memutuskan harapan Shah Rukh Khan menjalin kerjasama dengan Jackie pada masa akan datang.

Menurut laporan dari Hindustan Times, pendedahan itu telah dibuat ketika Shah Rukh Khan menghadiri program bual bicara Jonathan Ross sebagai tetamu jemputan pada 2010.

"Saya sangat meminatinya. Saya pernah menawarkan filem itu kepada dia, tetapi dia sangat 'mahal'. Saya akan cuba berbual dengannya dalam masa beberapa hari lagi.

"Anak-anak saya sangat meminatinya. Ketika saya sedang menantikan anak sulung saya, saya berdoa supaya anak saya mirip Jackie Chan.

"Saya harap saya dapat meyakinkannya. Ia sebuah filem baru berjudul "Ra.One". Di India tiada adiwira jadi inilah kali pertama cuba bawakan adiwira berkonsepkan Barat," katanya.

Biarpun tidak berpeluang untuk bekerjasama, namun bintang filem "My Name Is Khan" itu akhirnya dapat bertemu idolanya ketika menghadiri sebuah festival filem di Riyadh, Arab Saudi pada tahun lalu.

Turut hadir pada acara itu ialah pelakon Jean-Claude Van Damme dan Jason Momoa. Para peminat dilihat meluahkan keterujaan apabila foto keempat-empat mereka bersama tular di media sosial.

Beralih ke perkembangan lain, Shah Rukh Khan bakal kembali ke layar perak dengan filem "Brahmastra" arahan Ayan Mukerji, serta sebuah filem baru belum diberi judul terbitan Raj Nidimoru dan Krishna D.K.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Femina & Forbes)

Cinema Online, 16 Jul 2020

Waktu Tayangan