Syafiq Yusof beri kelainan dalam "Polis Evo 3" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Syafiq Yusof beri kelainan dalam "Polis Evo 3"

Penulis: Ashraf Nasser

Syafiq Yusof harap filem "Polis Evo 3" dapat mengulangi kejayaan dua filem "Polis Evo" terdahulu.
Syafiq Yusof harap filem "Polis Evo 3" dapat mengulangi kejayaan
dua filem "Polis Evo" terdahulu.

24 Jan – Jika sebelum ini pengarah muda berbakat besar Syafiq Yusof hanya mengarah filem terbitan Skop Productions sahaja, kini dia mula keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk menggarap filem terbaru dari francais "Polis Evo" iaitu "Polis Evo 3".

Menurut Syafiq, jika filem kedua sebelum ini memaparkan isu serius yang perlu dihadapi oleh kedua-dua watak utama iaitu Inspektor Khai dan Inspektor Sani, namun untuk filem terbaru ini dia mahu mengembalikan 'feel' seperti filem yang pertama.

"Jika anda tonton filem kedua anda pasti sedar isu yang ditampilkan berkisarkan pengganas sangat serius dan kedua-dua watak utama tidak banyak babak komedi, jadi untuk filem ketiga ini saya mahu kembalikan 'feel' seperti filem pertama iaitu aksi komedi.

"Tetapi bukan bermaksud filem ini akan kurang 'aksi' seperti filem kedua, sebaliknya ia padat dengan aksi dan juga komedi," ujarnya yang ditemui ketika di lokasi penggambaran "Polis Evo 3" di Kuala Lumpur semalam.

Tambahnya lagi, dia juga akan mengembalikan beberapa watak asal termasuk adik kepada Inspektor Sani, Anis lakonan Nora Danish.

Walaupun filem ini adalah sebuah naskhah aksi komedi, namun Syafiq berkata terdapat 'plot twist' yang akan dipaparkan yang mana butiran mengenai babak itu tidak didedahkan.

Pengarah itu juga tidak mendedahkan lanjut mengenai watak antagonis yang dijayakan oleh Sharnaaz Ahmad.

"Saya tak boleh beritahu lagi buat masa ini. Anda kena tonton sendiri. Tetapi apa yang saya boleh cakap anda akan melihat sisi berbeza Sharnaaz."

"Polis Evo 3" akan menyaksikan Inspektor Khai dan Inspektor Sani terlibat dalam satu penyiasatan satu letupan yang berlaku di Pulau Pinang yang mana ia telah membunuh ratusan mangsa termasuk seorang anggota polis.

Keadaan bertambah rumit apabila mereka menyedari bahawa sasaran seterusnya ialah Khai sendiri. Persahabatan mereka bakal teruji apabila siasatan mereka mendedahkan bahawa suspek letupan tersebut mempunyai kaitan dengan masa silam Khai yang dirahsiakannya selama ini.

Selain Shaheizy Sam dan Zizan Razak, filem terbitan terbitan BlackFlag dengan kerjasama Astro Shaw dan Productions ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Douglas Lim, Syafiq Kyle, Fara Ali Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

"Polis Evo 3" dijangka akan menemui penonton pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini.

Cinema Online, 24 Jan 2020

Filem Berkaitan:
Polis Evo (Melayu) (17 Sept 2015)
Polis Evo 2 (Melayu) (22 Nov 2018)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan