"KL Gangster 3" bakal temui penonton pada tahun 2022 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"KL Gangster 3" bakal temui penonton pada tahun 2022

Penulis: Nisa Irina

Adakah Syamsul Yusof bakal kembali sebagai Shark dalam "KL Gangster 3"?
Adakah Syamsul Yusof bakal kembali sebagai Shark dalam "KL Gangster 3"?

30 Okt – Pelakon, penerbit dan pengarah tersohor Syamsul Yusof menimbulkan keterujaan ramai apabila memberi bayangan bahawa filem aksi "KL Gangster 3" bakal diterbitkan tidak lama lagi.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, telah memuat naik foto watak yang digalasnya dalam siri filem aksi itu, iaitu Shark.

"Hormati antara satu sama lain. Kita jaga kita. Jangan cuba untuk masuk ke dalam kepala saya. Ia terlalu gelap untuk kamu kendalikan.

""KL Gangster 3: The Finale" akan datang tidak lama lagi. Say yes brother," tulis Syamsul di ruangan kapsyen foto tersebut.

Dalam perkongsian sama, Syamsul turut menyertakan tag nama pengguna Instagram para pelakon asal siri filem itu, iaitu Adi Putra, Aaron Aziz, Zizan Razak, Adam Corrie, Soffi Jikan dan Datuk Rosyam Nor.

Pada asalnya, pelakon filem "Munafik 2" itu meletakkan tahun 2022 sebagai tarikh tayangannya. Walau bagaimanapun, dia telah menyunting semula kapsyen itu dan memadam tarikh tersebut.

Terdahulu, filem "KL Gangster" dan "KL Gangster 2" terbitan Skop Productions berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton hinggakan kutipannya mencecah RM11.74 juta dan RM4.96 juta.

Dalam perkembangan lain, tahun 2021 akan menyaksikan dua lagi filem arahan Syamsul ditayangkan iaitu filem epik sejarah "Mat Kilau" dan naskhah seram yang dinanti-nanti ramai, "Munafik 3".

(Sumber foto: Syamsul Yusof Instagram)

Cinema Online, 30 Okt 2020

Filem Berkaitan:
KL Gangster (Melayu) (09 Jun 2011)
KL Gangster 2 (Melayu) (03 Okt 2013)
Munafik 2 (Melayu) (30 Ogos 2018)


Waktu Tayangan