Syifa Hadju sanggup jalani dua ujibakat demi filem "Sejuta Sayang Untuknya" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Syifa Hadju sanggup jalani dua ujibakat demi filem "Sejuta Sayang Untuknya"

Penulis: Nisa Irina

 Syifa Hadju dedah wataknya agak berat untuk dibawa.
Syifa Hadju dedah wataknya agak berat untuk dibawa.

27 Okt – Pelakon dan model terkenal Indonesia, Syifa Hadju memberitahu dia sanggup mengulangi sesi uji bakat walaupun sudah terpilih untuk membintangi filem romantik terbaru, "Sejuta Sayang Untuknya".

Menurut Syifa, keputusan itu dibuat selepas merasakan ada kekurangan dalam lakonannya ketika sesi yang pertama dan meminta izin pengurus produksi MD Pictures untuk mengulangi sesi tersebut.

"Saya tidak percaya begitu mudah saya terpilih. Deddy Mizwar mempunyai cara uji bakat yang unik dan belum pernah saya rasai. Saya dapat belajar pelbagai perkara baru ketika uji bakat berlangsung.

"Saya memberitahu pengurus bahawa saya ingin jalani uji bakat sekali lagi jika ada yang kurang dalam lakonan saya. Saya betul-betul inginkan watak itu," katanya yang dipetik dari laporan Kapan Lagi.

Menurut pelakon filem "Danur 3" itu lagi, watak yang digalasnya, iaitu gadis sekolah tinggi bernama Gina, agak mencabar untuk dibawa kerana dia mempunyai latar belakang yang penuh dengan konflik.

"Watak Gina dilihat sederhana tetapi sangat kompleks dari segi latar belakang dan psikologi. Jadi saya perlu memikirkan cara untuk betul-betul menghayati dan menghidupkannya," tambahnya lagi.

Diarahkan oleh Herwin Novianto, "Sejuta Sayang Untuknya" menceritakan kisah seorang bapa yang sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan kehidupan terbaik buat satu-satunya anak perempuannya.

Selain Syifa, filem itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Deddy Mizwar, Umay Shahab, Edbert Einstain, Ozzol Ramdan, Wiwi Dwinanda dan ramai lagi.

"Sejuta Sayang Untuknya" kini ditayangkan menerusi portal penstriman video Indonesia, Disney+ Hotstar.

(Sumber foto: Syifa Hadju Instagram)

Cinema Online, 27 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Danur 3: Sunyaruri (Indonesia) (26 Sept 2019)
Ayat-Ayat Cinta 2 (Indonesia) (11 Jan 2018)


Waktu Tayangan