"Syif Malam Raya" cemerlang di Astro First apabila kutip RM1.6 juta | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Syif Malam Raya" cemerlang di Astro First apabila kutip RM1.6 juta

Penulis: Ashraf Nasser

Penerbit filem lain patut mengikut jejak langkah "Syif Malam Raya" dengan menayangkan filem mereka di Astro First.
Penerbit filem lain patut mengikut jejak langkah "Syif Malam Raya" dengan
menayangkan filem mereka di Astro First.

28 Mei – Walaupun tidak dapat ditayangkan di pawagam, namun filem seram komedi terbaru berjudul "Syif Malam Raya" berjaya mencetuskan fenomena apabila ia berjaya mengutip RM1.6 juta dalam tempoh empat hari tayangannya di saluran berbayar Astro First.

Filem terbitan Ray Theme Sdn Bhd dan edaran United Studios ini sepatutnya ditayangkan di pawagam, namun beralih kepada stesen televisyen berbayar berikutan seluruh pawagam di Malaysia terpaksa ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebagai filem sulung terbitan Ray Theme Sdn Bhd, saya bersyukur dengan sambutan luar biasa untuk filem "Syif Malam Raya" dari penonton di Astro First. Walaupun pada asalnya filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam, pihak kami redha dengan situasi semasa.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua artis, karyawan, krew penerbitan, pengedar serta pihak Astro sehingga filem ini menjadi fenomena dalam era norma baru bagi tayangan sesebuah filem," ujar penerbit "Syif Malam Raya" iaitu Ahmad Fuzi Mansor dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad Fuzi lagi, kejayaan filem pertama ini sangat bermakna buat mereka kerana ia memberi semangat kepada mereka untuk terus menerbitkan filem-filem menghiburkan.

Filem arahan Profesor Dato' Dr A. Razak Mohaideen ini berkisarkan mengenai Zaid dan Hisyam yang tidak sedih apabila permohonan cuti raya mereka ditolak berikutan mereka ditugaskan untuk menghantar satu mayat ke Ipoh pada malam Raya.

Ketika dalam perjalanan mereka telah menumpangkan Mira dan Yoh untuk pulang beraya ke kampung, namun kejadian aneh mula berlaku.

"Syif Malam Raya" dibintangi oleh ramai pelakon komedi terkenal seperti Atu dan Shariff dari kumpulan Zero, Ropie, Saiful Apek, Danial Lawak Solo, Azlee Senario, Reen Rahim, Emelda Rosemila, Nadia Brian, Sheila Mambo dan selebriti YouTube, Yoe Pare, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly.

Cinema Online, 28 Mei 2020

Filem Berkaitan:
Syif Malam Raya (Malay) (Not Showing)


Waktu Tayangan