Taufiq Hanafi alami kemurungan? | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Taufiq Hanafi alami kemurungan?

Penulis: Nisa Irina

Taufiq Hanafi harap orang ramai ambil berat akan kesihatan mental masing-masing.
Taufiq Hanafi harap orang ramai ambil berat akan kesihatan mental masing-masing.

19 Okt – Pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 bukan hanya menjejaskan industri dan ekonomi, malah ia turut memberi kesan kepada tahap kesihatan mental sesetengah individu.

Begitulah apa yang dirasakan pelakon Taufiq Hanafi yang mengakui berasa bimbang akan kesihatan mentalnya apabila tinggal berseorangan sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bila berdiri di balkoni rumah dan tengok ke bawah, rasa macam nak terjun. Saya tinggal sendirian dan apabila berkurung dalam rumah dalam satu tempoh agak lama seperti PKP lalu, tak ada sokongan untuk mental saya.

"Kalau nak cakap itu adalah kemurungan, saya sendiri tak pasti sebab saya tak pernah alami. Jadi, saya tak boleh nak jelaskan.

"Namun, apabila fikiran jadi seperti itu, saya cepat-cepat untuk ubah fikiran saya supaya dapat berfikir dengan lebih rasional. Saya anggap ini sebagai dugaan," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Sehubungan dengan itu, pelakon filem "PASKAL" itu berharap orang ramai sentiasa mengambil berat akan tahap kesihatan mental masing-masing dalam tempoh yang mencabar ini.

Walaupun mengakui banyak tawaran berlakon yang terpaksa dibatalkan, namun Taufiq bersyukur kewangannya masih stabil dan cukup untuk menyara diri serta ibu bapa di kampung.

Kali terakhir Taufiq dilihat berlakon adalah menerusi filem komedi romantik "Pasal Kau!" yang berjaya menduduki tangga pertama di Netflix Malaysia.

Filem itu menggandingkannya semula dengan pengarah Adrian Teh, serta pelakon-pelakon "PASKAL" seperti Hairul Azreen, Namron, Henley Hii, Amerul Affendi, Theebaan G dan Hafizul Kamal.

(Sumber foto: Taufiq Hanafi Instagram)

Cinema Online, 19 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Paskal The Movie (Melayu) (27 Sept 2018)
Blok 404 (Melayu) (28 Jun 2018)
Ola Bola (Inggeris / Melayu / Mandarin / Tamil) (28 Jan 2016)


Waktu Tayangan