Teater "Sepet The Musical" bakal dipentaskan semula Ogos ini | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Teater "Sepet The Musical" bakal dipentaskan semula Ogos ini

Penulis: Nisa Irina

Joshua Gui dan Badrika Bahadur kembali sebagai Jason dan Orked.
Joshua Gui dan Badrika Bahadur kembali sebagai Jason dan Orked.

10 Jul – Pementasan teater muzikal adaptasi filem ikonik Yasmin Ahmad "Sepet The Musical", yang diadakan pada September tahun lalu, bakal dipentaskan semula pada bulan depan di GMBB, Kuala Lumpur.

Buat pengetahuan lanjut, pementasan itu telah memenangi tiga Anugerah Seni Boh Cameronian baru-baru ini, termasuk Pengarah Terbaik Teater Muzikal buat pengarah dan pengasas Liver & Lungs Productions, Shafeeq Shajahan.

Sehubungan dengan itu, Shafeeq memberitahu bahawa pihak mereka berharap pementasan semula teater itu dapat memberi inspirasi serta diterima oleh para penonton baru.

"Mengarah "Sepet The Muzikal" merupakan pengalaman yang mengubah hidup saya. Menerima pengiktirafan daripada Kakiseni adalah satu penghargaan buat kami.

"Kami ingin meraikan kemenangan ini dengan membawa kembali pementasan ini buat penonton-penonton baru dengan harapan Yasmin Ahmad akan memberi inspirasi kepada norma baharu.

"Inilah masanya untuk rakyat Malaysia kembali menikmati persembahan teater semula. Kami galakkan sesiapa yang hadir memakai pelitup muka dan berpakaian kasual 'pasar malam' yang dinspirasikan dari "Sepet" serta berbaju kurung 'cotton'.

"Makanan akan disediakan mengikut SOP yang ditetapkan. Ianya pasti akan menjadi malam yang menyeronokkan," ujar Shafeeq yang dipetik dari laporan The Star.

Tambahan lagi, pihak GMCC akan menjalankan 'Standard Operating Procedure' (SOP), termasuk memeriksa suhu para pengunjung serta menyusun atur penjarakan sosial.

Dibintangi oleh Joshua Gui dan Badrika Bahadur sebagai Jason dan Orked, "Sepet The Musical" akan berlangsung selama tiga minggu, iaitu pada 8-9, 14-16 dan 21-23 Ogos.

Pada April lalu, Liver & Lungs Productions telah menawarkan siaran percuma bagi persembahan pementasan itu menerusi saluran YouTube memandangkan pada ketika itu negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

(Sumber foto: Liver & Lungs Productions Facebook)

Cinema Online, 10 Jul 2020

Filem Berkaitan:
SEPET (24 Feb 2005)
Waktu Tayangan