Telefilem kontroversi "Demi Tuhan Aku Bersaksi" terima kelulusan untuk tayang | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Telefilem kontroversi "Demi Tuhan Aku Bersaksi" terima kelulusan untuk tayang

Penulis: Nisa Irina

 Fadzil Zahari harap dakwah telefilemnya berjaya sampai kepada penonton.
Fadzil Zahari harap dakwah telefilemnya berjaya sampai kepada penonton.

26 Okt – Setelah hampir dua tahun tertangguh tayangan, akhirnya telefilem "Demi Tuhan Aku Bersaksi" bakal ditayangkan di saluran TV1 RTM pada 31 Oktober ini.

Penerbitnya Prokuya Studios Sdn Bhd, Fadzil Zahari meluahkan rasa syukur kerana telefilemnya menerima kelulusan dari pihak RTM untuk ditayangkan walaupun dikecam hebat oleh orang ramai susulan mengetengahkan isu Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT) di sekolah tahfiz.

"Setelah lebih 80,000 petisyen tandatangan untuk haramkan tayangan telefilem "Demi Tuhan Aku Bersaksi", pelbagai kecaman yang saya, isteri, keluarga, pengarah, kru dan pelakon terima.

"Dari sekecil cacian hinggalah kami dikatakan agen Yahudi dan keluarga di sumpah masuk neraka. Saya maafkan semuanya. Semalam dengan izin Allah Taala, telefilem ini dah mendapat tarikh tayangannya 31 Oktober 2020 jam 9 malam di TV1.

"Saya percaya, ramai yang tunggu nak tonton, sebab hampir dua tahun dah cerita ini ditunda tayangannya. Mohon semua tonton sendiri dan buat penilaian, harap dakwah cerita ni sampai pada setiap yang memerlukan InsyaAllah," tulis Fadzil di laman Instagram miliknya.

Memetik sumber dari Harian Metro, Fadzil menjelaskan bahawa kandungan telefilemnya sudah pun ditapis dan dipotong sebanyak 10 hingga 15 peratus, namun ia tidak mengganggu jalan cerita.

"Kontroversi telefilem ini timbul apabila satu gambar tular dan netizen membuat pelbagai andaian serta kecaman tanpa usul periksa.

"Kebetulan, jalan cerita dalam telefilem ini juga berkisar mengenai sikap sesetengah masyarakat yang suka menghakimi. Bukan kita nak tekankan mengenai LGBT dalam tahfiz atau apa," katanya.

Diarahkan oleh Eyra Rahman, "Demi Tuhan Aku Bersaksi" menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Syafie Naswip, Fezrul Khan, Ismail Yaakob, Sheila Mambo, Taiyuddin Bakar dan ramai lagi.

(Sumber foto: Fadzil Zahari Instagram)

Cinema Online, 26 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Longkai (Melayu) (10 Okt 2013)
Bro, Nampak Motor Gua? (Melayu) (30 Mei 2013)
Gamatisme (Melayu) (28 Mei 2015)


Waktu Tayangan