Siti Nurhaliza umum hamil anak kedua | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Siti Nurhaliza umum hamil anak kedua

Penulis: Nisa Irina

Tahniah diucapkan buat Tok Ti dan suami!
Tahniah diucapkan buat Tok Ti dan suami!

1 Dis – Desas desus mengenai penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza hamil anak kedua akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan dirinya kini berbadan dua.

Datuk Seri Siti, atau lebih mesra disapa Tok Ti, memuat naik perkongsian itu menerusi laman Instagram miliknya pada Selasa. Menurut Tok Ti, usia kandungannya sudah pun mencecah empat bulan.

"Alhamdulillah. Hari ini 1 Disember 2020, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang sudah pun berusia empat bulan.

"Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami.

"Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti," katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu "Aku Bidadari Syurgamu" tersebut turut merakamkan ucapan penghargaan buat kenalan dan para peminat yang tidak putus-putus mengirimkan doa buatnya.

"Saya amat bersyukur di atas kurniaan Allah ini, anugerah yang sangat berharga kerana saya diberi peluang untuk hamil selepas Siti Aafiyah berusia dua tahun lebih. Alhamdulillah. Terima kasih semua dan doakan saya ya!" katanya.

Berikutan itu, para peminat serta rakan-rakan artis seperti Ning Baizura, Ernie Zakri, Scha Alyahya, Faizal Tahir dan Tiz Zaqyah membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah buat Tok Ti.

Terdahulu, orang ramai mula berspekulasi bahawa Tok Ti hamil selepas beberapa foto dan video yang dikongsi oleh bekas isteri Datuk Seri Khalid, Datin Tengku Zawyah Tengku Izham ketika menyambut ulang tahun menantunya, menampakkan penampilan Tok Ti seakan mempunyai 'baby bump'.

Tok Ti dan Datuk K berkahwin pada 2006 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah pada 2018 menerusi proses persenyawaan in vitro (IVF).

(Sumber foto: Siti Nurhaliza Instagram)

Cinema Online, 01 Dis 2020

Waktu Tayangan