Tonton filem sambil jana pendapatan dengan eWayang | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Tonton filem sambil jana pendapatan dengan eWayang

Penulis: Ashraf Nasser

 Ketua Pegawai Eksekutif eWayang, Dato' Ismahanum Ismail bersama Presiden Persatuan Filem Malaysia Pansha ketika menandatangani memorandum persefahaman.
Ketua Pegawai Eksekutif eWayang, Dato' Ismahanum Ismail bersama Presiden
Persatuan Filem Malaysia Pansha ketika menandatangani memorandum persefahaman.

2 Dis – Jika sebelum ini pengguna perlu membayar untuk menonton filem atau pun siri di platform penstriman video popular, kini sebuah platform penstriman video baru telah muncul yang mana pengguna bukan sahaja boleh menonton filem-filem tempatan kegemaran anda tetapi juga dapat menjana pendapatan dengan eWayang.

Menurut Pengarah Urusan eWayang Azmi Ismail, tujuan platform eWayang ini bukan hanya untuk menonton filem sahaja tetapi juga membantu penerbit, pelakon atau sesiapa sahaja.

"Perbezaan ketara platform eWayang dengan platform penstriman video lain adalah sesiapa sahaja yang menonton filem di eWayang boleh menjana pendapatan menerusi 'referral'. Sebagai contoh, anda beli tiket untuk tonton wayang di eWayang, anda akan mendapat 'referral link' yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan, keluarga atau di media sosial. Sekiranya rakan anda berminat dan menonton filem menerusi 'referral links' anda, anda akan mendapat komisyen RM1.

"Bukan penonton sahaja dapat menjana pendapatan, tetapi penerbit dan juga pelakon turut boleh menjana pendapatan sampingan sekaligus menjadikan situasi menang-menang antara orang ramai dan juga penerbit," ujarnya ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara eWayang dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) sebentar tadi.

Tambah Azmi lagi, setiap penerbit yang menayangkan filem mereka di platform eWayang tidak dikenakan sebarang caj-caj tersembunyi dan setiap pembelian tiket pihak penerbit akan mendapat 50 peratus daripada harga tiket.

"Harga tiket untuk filem di eWayang berharga RM15 sahaja dan keuntungan setiap tiket akan dibahagi sama rata iaitu 50%-50%, jadi RM7.50 kepada penerbit dan RM7.50 kepada eWayang. Pihak eWayang juga akan menyalurkan RM1 setiap tiket kepada tabung COVID-19, maknanya penonton bukan sahaja dapat tonton filem tetapi juga dapat membuat amal."

Jelasnya lagi, mereka tidak akan berhenti menyalurkan sumbangan sekiranya COVID-19 berakhirnya sebaliknya akan meneruskan kerja-kerja amal dengan menyalurkan bantuan kepada badan atau persatuan lain pula selepas ini.

Ketika ini eWayang sudah pun menayangkan lapan buah filem dan bakal menayangkan lebih banyak lagi filem dalam masa terdekat ini.

Antara filem terbaru yang bakal ditayangkan di eWayang adalah "Khurafat", "Saya Amat Mencintaimu", "Spinning Gasing", "Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior", "Jadi Juga", "Kastil Tua", "Senjakala di Manado", "Bara" dan "Ciliwung Gudnite".

Penonton bukan sahaja boleh membeli tiket untuk sebuah filem sahaja, tetapi juga boleh membeli tiket untuk beberapa buah filem serentak menerusi pakej kombo yang ditawarkan yang mana harganya lebih murah.

Setiap pembelian tiket, penonton boleh menonton filem dalam tempoh 48 jam tanpa had.

Untuk maklumat lanjut boleh layari www.ewayang.com.

Cinema Online, 02 Dis 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan