Uyaina Arshad kecewa terpaksa tolak tawaran di Indonesia | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Uyaina Arshad kecewa terpaksa tolak tawaran di Indonesia

Penulis: Nisa Irina

Uyaina Arshad masih dihujani tawaran berlakon di Malaysia.
Uyaina Arshad masih dihujani tawaran berlakon di Malaysia.

3 Dis – Pelakon dan pengacara Uyaina Arshad tidak dapat menafikan bahawa pandemik COVID-19 sedikit sebanyak telah menjejaskan kerjayanya apabila terpaksa menolak beberapa tawaran kerja di Indonesia.

Menurut pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu, dia sepatutnya terlibat dengan beberapa program TV yang dijadualkan untuk mula pada penghujung Februari lalu.

"Sepatutnya ada beberapa program yang bakal saya kendalikan di Indonesia. Kalau sebelum ini saya mengacarakan program untuk siaran stesen televisyen Indosiar seperti AKSI Asia, D' Academy Asia, AKSI Indonesia, Golden Memories Asia dan banyak lagi.

"Kecewa juga bila wabak ini berpanjangan tetapi saya tetap bersyukur dan yakin semua perkara yang terjadi pasti ada hikmahnya," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Biarpun tidak berpeluang untuk ke negara jiran, namun pelakon drama "Jujurlah Nikahi Aku" itu bersyukur kerana masih dihujani tawaran berlakon di Malaysia.

Terdahulu, Uyaina telah mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan kecantikan wanita muslim Puteri Muslimah Asia 2018 yang berlangsung di Jakarta.

Dalam perkembangan lain, selepas menjayakan watak Usu Sakinah dalam drama "Perempuan Tanpa Dosa", Uyaina bakal tampil dalam sebuah lagi drama terbaru dengan watak lebih berbeza.

Walau bagaimanapun, Uyaina masih belum mendedahkan butiran lanjut mengenai drama tersebut.

(Sumber foto: Uyaina Arshad Instagram)

Cinema Online, 03 Dis 2020

Waktu Tayangan