"Wira" kutip RM7.6 juta selepas 41 hari di pawagam | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Wira" kutip RM7.6 juta selepas 41 hari di pawagam

Penulis: Ashraf Nasser


"Wira" adalah filem permulaan kepada 'cinematic universe' kisah wira tak didendang.

7 Jan – Setelah lebih sebulan ditayangkan di pawagam, jumlah kutipan filem aksi "Wira" akhirnya didedahkan baru-baru ini yang mana ia berjaya meraih kutipan RM7.6 juta selepas 41 hari ditayangkan di pawagam.

Berita gembira mengenai jumlah kutipan itu dikongsi menerusi laman sosial Instagram @wira_2019 yang mengucapkan terima kasih kepada penonton dan berjanji akan terus menghasilkan filem-filem hebat pada masa hadapan.

Dalam pada itu, peneraju utama filem "Wira" iaitu Hairul Azreen turut berkongsi berita gembira itu di laman sosial miliknya yang bersyukur dengan jumlah kutipan yang diperolehi walaupun terpaksa bersaing dengan filem-filem besar dari luar negara.

"Alhamdulillah, permulaan yang baik untuk 1 Januari 2020, filem "Wira" berjaya mendapat kutipan sebanyak RM7.6 juta walaupun tarikh tayangan kami sama dengan filem "Frozen 2", minggu seterusnya dengan "Ejen Ali The Movie", lepas itu "Jumanji 2" dan "Ip Man 4".

"Ini semua satu pencapaian yang terbaik untuk kami pada tahun 2020 di atas hasil kerjasama dari semua pihak. Apa-apa pun terima kasih pengarah dan penerbit Adrian Teh kerana berani ambil saya sebagai watak utama dalam filem ini bersama rakan-rakan pelakon lain," ujarnya.

Jumlah kutipan filem itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana ketika ini ia masih lagi ditayangkan di pawagam.

Filem yang menelan belanja sekitar RM8 juta ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Yayan Ruhian, Fify Azmi, Dain Said, Dato' Hilal Azman, Ismi Melinda, Josiah Hogan, Henley Hii dan ramai lagi.

"Wira" merupakan filem permulaan kepada 'cinematic universe' yang mana Adrian merancang untuk terus mengangkat kisah-kisah wira tak didendang ke layar perak.

(Sumber foto: Wira Instagram)

Cinema Online, 07 Jan 2020

Filem Berkaitan:
Wira (Malay) (21 Nov 2019)


Waktu Tayangan