Zayed Khan buat kemunculan semula dengan filem perang terbaru | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zayed Khan buat kemunculan semula dengan filem perang terbaru

Penulis: Nisa Irina

Zayed Khan bakal kembali untuk menghiburkan para peminatnya di layar perak.
Zayed Khan bakal kembali untuk menghiburkan para peminatnya di layar perak.

21 Mei – Setelah lima tahun menyepi dari dunia perfileman, aktor Zayed Khan bakal membuat kemunculan semula apabila diumumkan akan membintangi filem biopik sejarah Perang Indo-Pakistan 1947.

Sehubungan dengan itu, Zayed akan dilancarkan semula oleh bapanya yang juga aktor terkenal Sanjay Khan, di mana dia turut bertindak sebagai pengarah filem tersebut.

Biarpun filem itu masih belum diberi judul, namun Sanjay mendedahkan ia berkisarkan tentang kehidupan Brigadier Mohammad Usman yang berjuang dalam peperangan itu sehingga nafas terakhir.

"Zayed adalah salah seorang aktor paling kacak dalam industri perfileman. Sebagai bapa, ianya adalah tanggungjawab saya untuk menghasilkan filem untuk dia.

"Para penonton akan mengenali dia semula dalam filem ini. Saya sedang berusaha keras untuk menulis skrip kerana saya mahu ia kelihatan asli sebaik mungkin.

Saya ingin menggambarkan keberanian Tentera India dan bagaimana mereka berjuang walaupun tidak mempunyai artileri dan senjata yang mencukupi," ujar Sanjay yang dipetik dari Hindustan Times.

Untuk rekod, kali terakhir Zayed tampil di layar perak adalah menerusi filem thriller komedi "Sharafat Gayi Tel Lene" (2015) yang turut menampilkan Rannvijay Singh dan Tena Desae.

Dalam perkembangan lain, Zayed juga akan membuat kemunculan dalam filem komedi romantik "Desi Magic", di mana ia akan ditayangkan menerusi sebuah portal penstriman video berbayar.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: India West)

Cinema Online, 21 Mei 2020


Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan