Zed Zaidi tegaskan perlantikan sebagai AJK FINAS kerana kewibawaannya | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Zed Zaidi tegaskan perlantikan sebagai AJK FINAS kerana kewibawaannya

Penulis: Ashraf Nasser

 Zed Zaidi enggan ambil pusing dengan kecaman warganet terhadapnya.
Zed Zaidi enggan ambil pusing dengan kecaman warganet terhadapnya.

6 Jul – Presiden Persatuan Seniman Malaysian (SENIMAN), Zed Zaidi menyangkal dakwaan kononnya perlantikannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai pelengkap impiannya untuk sertai FINAS sebagai orang penting.

"Ini bukan soal kejar impian. Saya dilantik secara sah oleh pihak FINAS kerana yakin boleh menggalas tanggungjawab besar diberikan untuk memantapkan lagi data industri seperti maklumat peribadi penggiat seni.

"Menerusi data ini, ia memudahkan saluran sumbangan diagihkan dan sebagainya yang sesuai untuk membantu golongan penggiat seni meliputi semua kategori secara keseluruhan. Dengan ada data lengkap yang sudah dikemaskini itu akan menjadi lebih sistematik dan memudahkan banyak urusan," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil lagi, dengan adanya data itu tiada lagi penggiat seni yang terlepas pandang untuk dibantu serta mendapatkan pertolongan ketika mereka memerlukan.

Perlantikan Zed sebagai AJK FINAS itu akan berkuat kuasa dari 19 Jun lalu hingga 22 Mei 2022.

Dalam pada itu, selaku AJK baru Zed berkata dia bercadang mahu syorkan satu tabung khas diwujudkan sebagai sokongan tabung sedia ada kerana ia penting untuk membantu penggiat seni ketika terjejas pendapatan seperti dihadapi sewaktu penularan pandemik COVID-19.

Cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat yang dijangka akan berlangsung pada pertengahan Julai ini.

Sementara itu, Zed berkata dia sudah lali dengan kritikan dan kecaman daripada warganet dan enggan ambil pusing dan hanya akan ambil maklum sekiranya kritikan positif diberikan.

(Sumber foto: Beautifulnara)

Cinema Online, 06 Jul 2020

Waktu Tayangan