Buletin
Zoya Akhtar rancang bikin sebuah filem gengster


Tarikh disiarkan: 26 Februari 2020

Zoya dan Farhan pernah bekerjasama dalam filem "Dil Dhakne Do" dan "Gully Boy".
Zoya dan Farhan pernah bekerjasama dalam filem "Dil Dhakne Do" dan "Gully Boy".

26 Feb – Penerbit dan pengarah Zoya Akhtar mendedahkan perancangannya untuk mencari skrip yang sesuai bagi menghasilkan sebuah filem bertemakan dunia gengster.

Sehubungan dengan itu, jika filem itu direalisasikan, aktor yang menjadi pilihan Zoya untuk menerajuinya adalah adiknya sendiri iaitu Farhan Akhtar.

Sebelumnya, mereka pernah bekerjasama menjayakan filem "Dil Dhadakne Do" (2015) yang menampilkan pelakon lain seperti Anil Kapoor, Ranveer Singh dan Priyanka Chopra, serta filem "Gully Boy" (2019).

"Filem gengster dan polis merupakan genre kegemaran saya tetapi saya masih belum menemukan bahan untuk saya ceritakan. Namun saya akan terus mencari sehingga saya jumpa sesuatu yang menarik kerana saya ingin membikinnya.


"Bantu saya cari skrip yang bagus untuk sebuah filem gengster. Saya dan Farhan sudah lama berkeinginan untuk berkolaborasi dalam projek sebegini," ujarnya yang dipetik dari DNA India.

Beralih ke perkembangan lain, karya baru Zoya iaitu sebuah filem antologi seram yang terbahagi kepada empat filem pendek, "Ghost Stories", kini ditayangkan di portal penstriman Neflix sejak 1 Januari 2020.

Turut menjadi pengarah bagi filem itu ialah Anurag Kashyap, Dibakar Banerjee dan Karan Johar. Antara barisan pelakon yang ditampilkan ialah Sobhita Dhulipala, Mrunal Thakur, Vijay Varma dan Janhvi Kapoor.

Sementara itu, Farhan pula kini sibuk mempersiapkan diri bagi menjayakan filem sukan tinju terbarunya "Toofan", yang mana dia turut bertindak sebagai penerbit.

Diarahkan oleh Rakeysh Omprakash Mehra, filem itu akan ditayangkan pada 2 Oktober 2020.

(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: Magzster & Timable)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide