Dokumentari BBC "Death in Bollywood" papar kisah kematian Jiah Khan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Dokumentari BBC "Death in Bollywood" papar kisah kematian Jiah Khan

Penulis: Nisa Irina

Kisah Jiah Khan dalam "Death in Bollywood" mendapat perhatian media antarabangsa.
Kisah Jiah Khan dalam "Death in Bollywood" mendapat perhatian media antarabangsa.

13 Jan – Siri dokumentari "Death in Bollywood" yang diterbitkan oleh saluran televisyen berita antarabangsa BBC berjaya mencuri perhatian media antarabangsa apabila ia memaparkan kisah kematian bintang Bollywood Jiah Khan.

Dokumentari itu mempunyai tiga buah episod dan berdurasi 59 minit setiap satu, di mana ia menceritakan kehidupan aktres berdarah British-Amerika itu sejak dari awal remaja sehingga bergelar selebriti.

Selain itu, dokumentari berkenaan turut memaparkan kes kematian Jiah yang tragis, di mana dia dijumpai meninggal dunia akibat bunuh diri di kediamannya di Mumbai pada 3 Jun 2013.

Walau bagaimanapun, keluarga Jiah termasuk ibunya, Rabia Khan mempercayai ia bukanlah kes bunuh diri tetapi pembunuhan, di mana dia telah menuduh teman lelaki Jiah iaitu aktor Bollywood Sooraj Pancholi sebagai suspek utama.

Selama bertahun-tahun Rabia cuba menegakkan kebenaran di sebalik kematian Jiah. Malah dia juga pernah mengupah pakar forensik British Jason Payne-James untuk membantu siasatan pada 2016.

Jiah membuat debut dalam bidang lakonan menerusi filem "Nishabd" bersama Amitabh Bachchan pada 2007, di mana dia menerima anugerah Aktres Debut Terbaik Filmfare.

Kali terakhir Jiah dilihat berlakon adalah menerusi filem pecah panggung "Housefull" yang diterajui Akshay Kumar.

Memetik laporan dari Koimoi, kebanyakan penonton yang telah menonton episod pertama dokumentari itu berkongsi ulasan mereka menerusi media sosial.

Mereka menyifatkan episod itu sangat sensitif dan penuh emosi kerana ia memaparkan segala butiran tentang kejadian tersebut, termasuk nota bunuh diri sebanyak enam muka surat dan situasi ketika Sooraj ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, hanya penduduk di United Kingdom boleh mengakses dan menonton dokumentari "Death in Bollywood" yang diterbitkan di laman sesawang BBC.

Buat masa ini, "Death in Bollywood" belum boleh ditonton oleh orang ramai di seluruh dunia susulan isu hak cipta.

(Sumber foto: The Mirror & BBC)

Cinema Online, 13 Jan 2021

Waktu Tayangan