FINAS teruskan 'swab test' Insentif Saringan Prihatin | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS teruskan 'swab test' Insentif Saringan Prihatin

Penulis: Nisa Irina

Penjawat FINAS di Petaling Jaya telah menjalani 'swab test' COVID-19 semalam.
Penjawat FINAS di Petaling Jaya telah menjalani 'swab test' COVID-19 semalam.

14 Jan – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneruskan pelaksanaan Insentif Saringan Prihatin terhadap penjawat FINAS yang bertugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kenyataan yang dikongsi menerusi laman Facebook rasmi FINAS Malaysia, setiap penjawat FINAS telah menjalani ujian saringan COVID-19 atau 'swab test' yang diadakan di pejabat FINAS, Petaling Jaya, semalam.

"Inisiatif ini merupakan komitmen daripada Ahli Perbadanan dan Pengurusan Tertinggi FINAS dalam memastikan peranan serta fungsi FINAS selaku badan peneraju industri kreatif dapat diteruskan.

"Ia sekaligus berupaya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada barisan pemegang taruh dan penggiat industri kreatif walaupun berdepan dengan risiko penularan COVID-19," ujar pihak FINAS.

Pada Oktober lalu, FINAS telah memperkenalkan insentif tersebut kepada para pelakon dan kru produksi yang mengadakan aktiviti penggambaran bagi mengekang penularan COVID-19 dan memastikan keselamatan mereka terjamin.

Syarikat produksi harus menanggung dahulu kos ujian saringan dan mengemukakan dokumen tuntutan kepada FINAS. Kadar maksimum bagi tuntutan insentif itu berjumlah RM5,000 bagi setiap syarikat produksi.

Kelmarin, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di enam negeri yang dilaksanakan PKP iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Melaka.

Sementara itu, penggambaran masih boleh diteruskan seperti biasa di negeri yang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

PKPB dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, manakala Perlis dan Sarawak pula berada di bawah tempoh PKPP.

(Sumber foto: FINAS Malaysia Facebook)

Cinema Online, 14 Jan 2021

Waktu Tayangan