Mia Sara masih aktif dalam dunia seni | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Mia Sara masih aktif dalam dunia seni

Penulis: Nisa Irina

Mia Sara harap orang ramai hormat keputusannya untuk berhijab.
Mia Sara harap orang ramai hormat keputusannya untuk berhijab.

13 Jan – Biarpun kelibatnya semakin jarang dilihat di layar perak mahupun kaca televisyen, namun pelakon remaja Mia Sara Nasuha memberitahu bahawa dia masih belum undur diri dari dunia seni.

Menurut Mia, atau nama sebenarnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan, dia sudah kurang menerima tawaran berlakon selepas membuat keputusan untuk berhijab pada Disember 2016.

"Baru-baru ini ada tawaran yang meminta saya membuka tudung selepas diberitahu mengenai watak yang ditawarkan.

"Banyak perkara sebegitu berlaku lebih-lebih lagi pada peringkat awal saya bertudung. Sebab itu jugalah saya banyak tolak tawaran lakonan. Jadi bila jarang muncul di kaca televisyen, ada yang ingat saya sudah tidak berlakon lagi.

"Apa pun, saya harap mereka menghormati keputusan saya yang bertudung. Saya pakai tudung pun bukanlah atas paksaan mana-mana pihak," katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Kali terakhir Mia dilihat berlakon adalah menerusi drama bersiri "SMK" musim kedua yang tamat siarannya di Astro Ceria pada Disember tahun lalu.

Terdahulu, Mia pernah meluahkan hasrat seakan ingin berhenti berlakon serta mempersoalkan penglibatannya dalam industri. Rata-rata peminat dan rakan selebriti pula menyokong apa jua keputusannya.

Untuk rekod, Mia mula menceburi bidang lakonan menerusi drama "Adamaya" (2010) dan telah membintangi empat buah filem setakat ini, termasuk "Lagenda Budak Setan 3: Kasyah".

(Sumber foto: Mia Sara Instagram)

Cinema Online, 13 Jan 2021

Filem Berkaitan:
Lagenda Budak Setan 3: Kasyah (Melayu) (11 Sept 2014)
Papa, I Love You (Melayu) (29 Dis 2011)
Sekali Lagi... (Melayu) (30 Jun 2011)


Waktu Tayangan