Sinopsis Filem

LEMBING AWANG PULANG KE DAYANG

Berlatarkan tahun 1776, kisah yang diadaptasi daripada sebuah novel ini mengisahkan seorang jejaka yang bernama Awang yang kembali semula ke kampungnya di Parit Raja, Johor selepas tiga tahun membawa diri. Tiba di kampung, hasrat Awang untuk mengahwini tunangnya, Dayang berkecai selepas mendapati Dayang telah diperdaya oleh seorang jejaka yang bernama Bachok yang mengatakan Awang telah meninggal dunia. Mengetahui fitnah itu, Awang datang menuntut bela di majlis perkahwinan Dayang dan Bachok. Dengan membawa sebilah tombak pemberian Raja Bugis, Awang telah bertindak menikam perut Bachok. Dalam keadaan parah, Bachok menarik tombak yang tertikam diperutnya dan tersasar menikam pengapitnya sendiri. Keadaan di majlis perkahwinan bertukar menjadi huru-hara dengan tragedi pergaduhan dan pertumpahan darah di kalangan jemputan. Manakala bapa Dayang pula terbunuh sewaktu melindungi Dayang daripada cedera parah. Kejadian tersebut menyebabkan Awang membawa diri ke Endau dan Dayang pula meneruskan sisa hidupnya tanpa berkahwin sehingga ke akhir hayat.

Bahasa: Melayu
Sarikata: Na
Klasifikasi: U
Tarikh Tayangan: 22 Oktober 2009
Genre: Drama / Romantik
Durasi: 1 Jam 54 Minit
Pengedar: GRAND BRILLIANCE
Pelakon: Farid Kamil, Siti Elizad, Zul Huzaimy, Lynette Ludi, Kuswadinata
Pengarah: Majed Salleh
Format: NA


Penulis: Nur Safina Othman

Rating Penulis:
Keseluruhan:
Pelakon-pelakon:
Plot:
Kesan khas @ Efek:
Sinematografi:

Tonton ini jika anda suka: Puteri Gunung Ledang", "Queens Of Langkasuka"

Selepas empat tahun tayangannya tertunda akibat pelbagai masalah dihadapi, akhirnya "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" bakal memasuki pawagam pada 22 Oktober akan datang. Bakal ditayangkan di sebanyak 30 buah pawagam, filem epik yang diarahkan oleh Majed Salleh ini diadaptasi daripada sebuah novel tulisan sasterawan Shaharom Husain yang telah diterbitkan pada tahun 1957.

"Lembing Awang Pulang Ke Dayang" mengangkat sebuah kisah lagenda terkenal dari negeri Johor mengenai satu tragedi cinta berdarah. Berlatarkan tahun 1776, ia mengisahkan Awang (Farid Kamil) yang terpaksa pergi belayar selama tiga tahun bagi memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh bapa (Dato' Kuswadinata) gadis pujaannya, Dayang (Siti Elizad) apabila dia berhasrat untuk mengahwininya. Cabaran disahut dengan berbekalkan janji Dayang untuk setia. Walaubagaimanapun, janji setia dilanggar apabila Dayang bersetuju mengahwini Bachuk (Zul Huzaimy) yang sudah lama memendam perasaan setelah menanti Awang yang tidak muncul jua.

Pujian harus diberikan kepada penerbit kerana bukan mudah untuk menerbitkan sebuah filem yang diadaptasikan daripada sejarah. Penerbit menganggap "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" perlu difilemkan kerana ia mampu mendidik generasi muda hari ini yang sudah pasti semakin lupa atau tiada pengetahuan mengenai kisah lagenda terkenal. Ia juga secara tidak langsung membuka jalan kepada penerbit lain yang lain untuk menerbitkan filem genre sebegini agar warisan negara tidak dilupakan begitu sahaja. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" sebenarnya mempunyai sebuah jalan cerita yang bagus dan menarik, malangnya ia tidak berjaya disampaikan dengan baik dan gagal mempunyai impak yang berkesan kepada penonton.

Tambahan pula dengan bajet sebanyak RM1.6 juta, penonton terpaksa berpuas hati dengan kualiti produksinya memandangkan filem ini sebenarnya sudah lama dihasilkan iaitu empat tahun yang lalu. "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" adalah antara filem terawal yang menggunakan teknik High Definition (HD). Oleh sebab itu, jelas kelihatan beberapa kelemahan terutama sekali dari aspek membabitkan audio. Malah teknik suntingan efek khas semasa proses pasca penerbitan juga agak tidak memuaskan dan ia terbukti apabila visual yang dipaparkan nampak tidak memuaskan dan amatur terutama sekali ketika adegan pergaduhan di atas kapal melibatkan Awang.

Walaubagaimanapun filem ini bernasib baik kerana ia dibarisi pelakon berbakat. Pujian harus diberikan kepada Farid Kamil dan Zul Huzaimy kerana berjaya memberi sepenuh penghayatan yang cukup berkesan kepada watak yang dipegang masing-masing. Tidak keterlaluan jika dikatakan tanpa lakonan mereka, berkemungkinan besar "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" gagal memberi persembahan yang baik. Filem ini merupakan filem kedua yang mempertaruhkan Farid sebagai watak utama selepas "Tujuh Perhentian" (2004). Wajar dikatakan prestasi lakonan Farid di dalam "Lembing Awang Pulang Ke Dayang" sesuai pada ketika itu. Mungkin peluang bertemu dengan waris Awang juga secara sedikit sebanyak membantu Farid bagi menghayati wataknya itu. Tidak jauh beza dengan watak-watak antagonis yang pernah dilakonkannya sebelum ini, ternyata prestasi Zul Huzaimy tidak mengecewakan di dalam filem ini. Namun bagi Siti Elizad, dia kelihatan gagal mempersembahkan dan menghayati wataknya dengan baik. Mungkin kerana masih lagi setahun jagung dalam bidang lakonan. Kekurangan pengalaman itu menjadikan lakonan Siti Elizad kaku di layar perak.

Selain daripada Malaysia, negara-negara lain yang pernah menerbitkan filem mengisahkan warisan negara mereka adalah Thailand dan Indonesia. Tidak kiralah apa sahaja kekurangan dalam "Lembing Awang Pulang Ke Dayang", ia terpulang kepada penonton untuk menilainya sendiri. Seperti yang dikatakan oleh penerbit N Azman, mereka berasa puas dan menganggap sudah melakukan yang terbaik setelah ia mengambil masa yang cukup lama untuk merealisasikan impian melihat filem ini ditayangkan di pawagam.

Cinema Online, 12 October 2009
   



 
   
Anda boleh terus menempah tiket di MBO Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di Premium-X Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di TGV Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di mmCineplexes Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di Mega Cineplex, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di Amerin Cineplex, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online