Sinopsis Filem

V3 SAMSENG JALANAN

NA

Bahasa: Melayu
Sarikata: Na
Klasifikasi: 18PL
Tarikh Tayangan: 11 Mac 2010
Genre: Aksi / Jenayah
Durasi: 1 Jam 23 Minit
Pengedar: METROWEALTH
Pelakon: Farid Kamil, Bront Palarae, Aqasha, Intan Ladyana
Pengarah: Farid Kamil
Format: 35MM


Ulasan
Penulis: Nur Safina Othman

Rating Penulis:
Keseluruhan:
Pelakon-pelakon:
Plot:
Kesan khas @ Efek:
Sinematografi:

Tonton ini jika anda suka: "Remp-It"

Adakah filem "V3: Samseng Jalanan" merupakan filem terakhir menampilkan elemen rempit yang dapat anda tonton? Jika ya, nampaknya 'penutup' filem rempit ini dilihat tidak begitu mengecewakan. Diarahkan oleh pengarah baru dalam Skim 10 Pengarah Muda yang diperkenalkan oleh Metrowealth (MIG), Farid Kamil, "V3: Samseng Jalanan" atau tajuk asalnya "Remp-It V3" sebelum ini menghadapi masalah tidak layak ditayangkan di pawagam apabila pihak kerajaan cuba mengharamkan segala elemen rempit, homoseksual dan transeksual dalam sesebuah penerbitan filem. Namun bagi memastikan filem ini ditayangkan, Farid terpaksa berpuas hati walaupun "V3: Samseng Jalanan" disunting semula sebanyak 20% daripada salinan asal dan ditukar tajuknya yang disifatkan oleh penerbit prolifik David Teo sebagai tajuk yang lebih 'panas' dan mampu menarik penonton ke pawagam.

Bezanya "V3: Samseng Jalanan" dengan skrip pertama Farid, "Remp-It" (2006) adalah dari segi jalan cerita yang dilihat lebih berat dan serius. Malah ia lebih sarat dengan aksi yang lebih berani dan mendebarkan. Mengisahkan dua rakan baik, Rudy (Farid Kamil) dan Brett (Bront Palarae) yang menghadapi masalah besar setelah teman mereka mati dalam satu kemalangan jalan raya. Memburukkan keadaan apabila dadah dijumpai bersama temannya itu dan menyebabkan Rudy dan Brett melarikan diri ke ibu kota bagi menyelamatkan diri dan cuba mengubah kehidupan mereka. Namun ia bertambah buruk apabila Rudy tewas dalam pertaruhan setelah berlumba dengan Garing (Aqasha).

Menelan kos perbelanjaan sekitar RM1.8 juta dan menjalani penggambaran sekitar negeri Kedah dan Lembah Klang, plot cerita yang ditampilkan dan juga perkembangan dari segi watak dilihat agak lemah. Barangkali kerana Farid lebih banyak memfokuskan kepada aksi berani yang dipaparkan. Walaubagaimanapun dialog di antara barisan pelakon berjaya memperlihatkan kehidupan sebenar golongan rempit ini. Mungkin agak sukar bagi sesetengah penonton untuk memahami dialog barisan pelakon terutama sekali di antara Rudy dan Brett yang lebih banyak bercakap dalam loghat Kedah. Malah menurut Farid sendiri, golongan mat rempit di Kedah sangat berani dan tidak takut mati. Malah itu adalah salah satu sebab Farid memilih sendiri Kedah sebagai salah satu lokasi penggambaran untuk filem ini. Jika "Remp-It" menampilkan kronologi kisah kehidupan dan masalah sosial di kalangan mat rempit, namun melalui "V3: Samseng Jalanan", Farid mengharapkan pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian dalam menangani gejala sosial yang semakin menular di kalangan masyarakat kita ini.

Dari segi persembahan lakonan, Farid yang menggalas dua peranan iaitu sebagai pengarah dan pelakon utama nyata tidak mengecewakan. Watak Rudy dipersembahkan dengan berkesan tanpa nampak seperti dibuat-buat. Malah Farid kelihatan seolah-olah seperti 'mat rempit sejati'. Selain daripada Farid, filem ini turut disokong barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya seperti Bront Palarae, Aqasha, Adam Corrie sebagai Sam Seng, Radhi (OAG) sebagai Lan Ribut dan juga Intan Ladyana sebagai Lisa. Namun watak yang dipegang oleh Lisa Surihani adalah sesuatu di luar jangkaan penulis ini. Jika sebelum ini Lisa kerapkali diberikan watak ringan dalam kebanyakan filem romantik yang dilakonkannya, kali penonton serta peminat Lisa berpeluang menyaksikan Lisa 'kick some ass' pula. Melalui watak antagonis sebagai Kamsah, seorang pengikut setia Garing, kita dapat saksikan peningkatan dalam lakonan Lisa walaupun Lisa masih perlu belajar mengawal ekspresi wajahnya itu.

"V3: Samseng Jalanan" dilihat berjaya mengangkat Farid Kamil sebagai seorang pengarah yang berbakat dan mampu pergi jauh dalam industri ini. Jika benar filem ini merupakan filem terakhir yang menampilkan golongan rempit, ianya merupakan satu penantian yang berbaloi. Bagi peminat filem aksi, "V3: Samseng Jalanan" mungkin sesuai untuk tontonan anda. Diklasifikasikan sebagai 18PL, filem ini diharapkan dapat memberi pengajaran kepada penonton. Nampaknya Farid bolehlah menarik nafas lega setelah menanti selama setahun untuk buah tangan pertamanya ditayangkan di layar perak. Selamat berjaya, Farid!

Cinema Online, 01 March 2010
   



 
   
Anda boleh terus menempah tiket di MBO Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di Premium-X Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di TGV Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di mmCineplexes Cinemas, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online
Anda boleh terus menempah tiket di Mega Cineplex, klik pautan di bawah untuk meneruskan.
Ok      Batalkan
Anda akan keluar dari laman web Cinema Online