5 Pelakon watak antagonis terbaik! | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

5 Pelakon watak antagonis terbaik!

Penulis: Ashraf Nasser


Watak antagonis mana yang menjadi pilihan anda?

Mungkin ramai yang kurang memberi perhatian apabila ia berkaitan dengan watak antagonis dalam sesebuah filem kerana merasakan mereka ini tidak penting dalam sesebuah naskhah tersebut dan hanya memberi tumpuan kepada watak hero sahaja.

Percaya atau tidak watak antagonis dalam sesebuah naskhah cukup amatlah penting dan tidak keterlaluan sekiranya mengatakan watak antagonis sama penting dengan watak utama atau hero kerana tanpa seorang watak antagonis yang bagus, ia sedikit sebanyak akan mencacatkan jalan cerita dan membuatkannya menjadi kurang menarik.

Oleh itu bukan calang-calang hendak membawa watak antagonis ini terutamanya watak antagonis yang utama yang turut akan mencorak sesebuah naskhah itu.

Tidak semua pelakon boleh membawa watak antagonis ini kerana rupa, gaya dan cara pembawaan watak sangat penting untuk memberi impak kepada penonton.

Oleh itu, kali ini Cinema Online ingin menyenaraikan lima pelakon lelaki watak antagonis terbaik ketika ini!

Datuk Rosyam Nor (KL Gangster 2 & Gerak Khas The Movie)

Nama pelakon Datuk Rosyam Nor ini sememangnya sudah tidak asing lagi di dalam bidang lakonan ini. Ini kerana boleh merupakan salah seorang pelakon tersohor tanah air sehingga kini. Beri sahaja apa jenis watak pun pastinya akan dijayakan dengan begitu baik sekali. Sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan hampir 30 tahun beliau sudah membawa pelbagai jenis watak termasuk baik, jahat, cacat dan bermacam-macam lagi.

Antara watak yang memberi impak besar kepada penonton menerusi lakonannya adalah watak antagonis. Pada 2001 Rosyam telah muncul dengan filem "Gerak Khas The Movie" yang mana beliau merupakan watak antagonis utama sebagai Castello. Ternyata lakonannya mantapnya menjadi sebutan penonton sehingga sebuah filem mengenai wataknya dengan judul sama telah dihasilkan pada tahun 2006.

Setelah lama tidak muncul dengan watak antagonis, pada tahun 2013 beliau telah muncul dalam filem "KL Gangster 2" arahan Syamsul Yusof yang mana beliau membawa watak ketua gangster bernama Tailong. Sekali lagi watak antagonis yang dibawanya menjadi sebutan dan ikonik. Sama seperti terdahulu yang mana filem "Tailong" akan dihasilkan yang mana ia akan memaparkan tentang latar belakang Tailong. Filem tersebut dijangka akan menemui penonton pada tahun hadapan.

Aaron Aziz (Evolusi KL Drift 1, 2 & Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam)

Pelakon kelahiran Singapura ini menjadi hero pujaan Malaya selepas filem "Ombak Rindu" yang diangkat dari novel popular menjadi fenomena dan telah melonjakkan nama Aaron ke tahap yang tinggi. Bagaimanapun beliau memulakan kerjaya filemnya di Malaysia pada tahun 2008 menerusi watak antagonis dalam filem "Evolusi KL Drift" arahan Syamsul Yusof di mana beliau membawa watak sebagai Joe. Ternyata Aaron seorang pelakon yang serba boleh kerana beri apa sahaja watak kepadanya dan sudah pasti dia mampu memberikan yang terbaik.

Selepas kejayaan filem "Evolusi KL Drift", pengarah muda berbakat besar Syamsul sekali lagi mempertaruhkan Aaron dalam filem "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam" yang mana beliau membawa watak sebagai Azam yang merupakan ketua sindiket pelacuran. Terbaru, Aaron bakal muncul dengan sebuah filem aksi Hong Kong berjudul "Special Female Force" yang mana beliau akan memegang watak utama antagonis.

Pablo Amirul (Polis Evo & Kampung Drift)

Pelakon baru yang sedang meningkat naik Pablo Amirul ini memulakan kerjaya lakonannya dengan watak antagonis tidak kira di layar perak mahu pun di kaca televisyen. Malah boleh dikatakan hampir kesemua naskhah lakonannya adalah watak antagonis. Bagaimanapun kelibat Pablo mula mendapat perhatian selepas beliau membintangi filem "Polis Evo" sebagai Jimbo. Pablo sendiri mengakui watak Jimbo tersebut memberi impak besar kepada kerjayanya.

Pablo kemudian muncul dengan filem "Kampung Drift" arahan Pekin Ibrahim yang mana beliau sekali lagi diberi tanggungjawab membawa watak antagonis utama dalam filem tersebut. Pablo juga tidak berasa ralat apabila beliau sering ditawarkan watak antagonis kerana beliau mempunyai misi iaitu mahu menjadi pelakon antagonis nombor satu negara.

Bront Palarae (Bunohan & Bikers Kental)

Mungkin kita jarang melihat Bront Palarae melakonkan watak antagonis di layar perak tetapi ia tidak bermaksud beliau tidak mampu membawa watak sedemikian kerana Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin merupakan seorang pelakon serba boleh. Antara watak antagonis yang pernah dibawa dalam filem "Bunohan" sebagai Deng yang merupakan seorang pembunuh upahan.

Beliau kemudian sekali lagi membawa watak antagonis dalam filem "Bikers Kental" pada tahun kemudiannya sebagai Ponthaliwat yang merupakan seorang gangster dari Thailand. Malah lakonan beliau sebagai seorang lelaki psiko dalam "Lagenda Budak Setan 3" turut memberi impak besar kepada penonton.

Sharnaaz Ahmad (Juvana)

Secara umumnya ramai yang mengetahui karakter pelakon Sharnaaz Ahmad yang dikatakan seorang panas baran dan sering menimbulkan kontroversi sebelum ini. Bagaimanapun kerjaya lakonannya mula melonjak naik selepas beliau membintangi filem "Juvana" arahan Faisal Ishak sebagai Lan Todak yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah dibawah hukuman juvana yang mempunyai masalah psikologi. Watak tersebut telah disifatkan antara watak antagonis paling ikonik dalam sinema perfileman tempatan.

Cinema Online, 11 Okt 2016

Filem Berkaitan:
KL Gangster 2 (Melayu) (03 Okt 2013)
EVOLUSI KL DRIFT 2 (Melayu) (25 Mac 2010)
Polis Evo (Melayu) (17 Sept 2015)
Juvana (Melayu) (24 Jan 2013)
Bikers Kental (Melayu) (23 Mei 2013)
Kampung Drift (Melayu) (04 Ogos 2016)
BOHSIA: JANGAN PILIH JALAN HITAM (Melayu) (23 Apr 2009)


Waktu Tayangan