Filem Bollywood terbaru yang akan diriliskan di platform OTT | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Rencana

Filem Bollywood terbaru yang akan diriliskan di platform OTT

Penulis: Ashraf Nasser

 Kepada peminat filem Bollywood, jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem-filem hebat ini di platform OTT kegemaran anda.
Kepada peminat filem Bollywood, jangan ketinggalan untuk menyaksikan
filem-filem hebat ini di platform OTT kegemaran anda.

Seperti yang semua sedia maklum, dunia kini terjejas teruk susulan pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia dan telah menjejaskan ekonomi dengan teruk sekali termasuklah dunia perfileman.

Bollywood merupakan industri filem nombor dua terbesar di dunia di belakang Hollywood turut terjejas teruk apabila banyak filem-filem terbaru terpaksa ditunda berikutan kes jangkitan di India naik mendadak sehingga kini.

Bagaimanapun pembikin filem kini mula mencari alternatif lain bagi meriliskan filem mereka dan tidak mahu terlalu bergantung pada cara tradisional iaitu menayangkan filem di pawagam, sebaliknya mereka kini sudah mula meneroka platform digital OTT (over-the-top media service).

Terdahulu filem "Gulabo Sitabo", "Dil Bechara" dan "Shakuntala Devi" telah menjadi yang terawal yang diriliskan di platform OTT, dan kini lebih banyak pembikin filem akan mengikut langkah yang sama.

Walaupun banyak filem terbaru yang akan ditayangkan di platform OTT tidak lama lagi, namun Cinema Online tidak akan menyenaraikan kesemua sebaliknya menyenaraikan beberapa buah filem Bollywood besar yang akan diriliskan di platform OTT tidak lama lagi.

"Bhuj: The Pride of India"


Filem paling dinanti-nanti peminat Ajay Devgn iaitu "Bhuj: The Pride of India" yang merupakan sebuah naskhah yang diangkat dari kisah sebenar ketika Perang Indo-Pakistan pada tahun 1971. Menerusi filem ini, Ajay akan menjayakan watak sebagai ketua skuadron Tentera Udara India iaitu Vijay Karnik yang membaiki semula pengkalan udara Bhuj dengan bantuan 300 wanita tempatan. Ia turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Nora Fatehi, Ammy Virk dan ramai lagi.

Ditayangkan di : Disney+ & Hotstar

"Sadak 2"


Setelah sekian lama menyepikan diri, pembikin filem tersohor Mahesh Bhatt kembali membuat 'comeback' menerusi filem sekuel klasik "Sadak" (1991). Filem yang sepatutnya ditayangkan pada Ogos lalu terpaksa ditunda susulan pawagam di seluruh India ditutup. Bagaimanapun filem yang dibintangi oleh pelakon asal Sanjay Dutt dan Pooja Bhatt serta pelakon lain seperti Alia Bhatt dan Aditya Roy Kapur ini akhirnya memilih platform OTT untuk tayangannya.

Ditayangkan di : Disney+ & Hotstar

"AK vs AK"


Filem thriller "AK vs AK" ini mencetuskan keterujaan peminat untuk menyaksikan gandingan dua bintang Bollywood terkenal Anurag Kashyap dan Anil Kapoor beraksi. Ia berkisarkan mengenai seorang pembikin filem 'gila' lakonan Anurag menculik anak perempuan bintang Bollywood lakonan Anil. Filem arahan Vikramaditya Motwane ini turut menampilkan cameo daripada Sonam Kapoor dan Harshvardhan Kapoor.

Ditayangkan di : Netflix

"The Big Bull"


Sekiranya di Hollywood ada filem "The Wolf of Wall Streets", di India ada filem "The Big Bull" yang juga diangkat dari kisah seorang penipu stok broker Harshad Mehta. Berlatarbelakang pada tahun 1992 ini, ia dibintangi oleh Abhishek Bachchan, Ileana D'Cruz dan Nikita Dutta sebagai peneraju.

Ditayangkan di: Disney+ & Hotstar

"Class of '83"


Filem yang diangkat dari buku nukilan Hussain Zaidi ini akan menyaksikan Bobby Deol membuat debut digitalnya. Ia berkisarkan seorang pengawai polis yang melatih kadet membanteras jenayah. Diarahkan oleh Atul Sabharwal, ia merupakan kolaborasi ketiga produksi Shah Rukh Khan iaitu Red Chillies Entertainment bersama Netflix selepas "Bard of Blood" dan "Betaal".

Ditayangkan di: Netflix

"Ludo"


Diarahkan oleh Anurag Basu, filem komedi gelap ini berkisarkan mengenai empat watak yang dibintangi oleh Abhishek Bachchan, Rajkummar Rao, Fatima Sana Shaikh, Aditya Roy Kapur dan Pankaj Tripathi. Kali terakhir Anurag duduk di bangku pengarah adalah pada tahun 2017 menerusi filem "Jagga Jasoss".

Ditayangkan di : Netflix

"Torbaaz"


Filem terbaru lakonan bintang terkenal Sanjay Dutt ini sangat menarik kerana ia berkisarkan mengenai kisah seorang pengebom berani mati kanak-kanak di Afghanistan. Dalam filem arahan Girish Malik menyaksikan Sanjay membawa watak sebagai seorang pegawai tentera. Menariknya ia merupakan filem Hindi pertama menjalani penggambaran di Bishkek, Kyragyzstan.

Ditayangkan di: Netflix

"Serious Men"


Filem "Serious Men" adalah sebuah filem yang diangkat dari sebuah buku nukilan Manu Joseph. Ia berkisarkan mengenai seorang lelaki yang tinggal di setinggan mendakwa anak lelakinya berusia 10 tahun adalah seorang genius. Diarahkan oleh Sudhir Mishra, ia dibintangi oleh Nawazuddin Siddiqui sebagai peneraju.

Ditayangkan di : Netflix

Cinema Online, 11 Nov 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE
Waktu Tayangan